Mahkamah dapati dana diberi kepada adik bukan ‘pinjaman’

Mahkamah dapati dana diberi kepada adik bukan ‘pinjaman’

Mahkamah Sesyen memutuskan bahawa wang diberikan oleh dua individu kepada adik mereka adalah suatu bentuk 'sokongan'.

Vel Manoharan bersama peguamnya, Asmawi Ismail, di mahkamah. (Gambar Vel Manoharan)
PETALING JAYA:
Mahkamah Sesyen Seremban pada Jumaat memutuskan bahawa dana yang diberikan oleh dua pengarah sebuah firma kejuruteraan industri terkemuka kepada adik mereka adalah suatu ‘pemberian’, dan bukannya ‘pinjaman’.

Hakim Abu Bakar Manat memutuskan bahawa RM221,044 yang diberikan oleh M Natarajen dan M Satishkumar kepada adik bongsu mereka, Vel Manoharan, merupakan suatu bentuk ‘sokongan’ daripada ahli keluarga.

Wang tersebut merangkumi RM160,600 untuk pendidikan, manakala baki RM60,444 merupakan pendahuluan bagi pembelian sebuah rumah daripada Linsun Engineering Sdn Bhd dan Linsun Global (M) Sdn Bhd.

Abu Bakar berkata Natarajen dan Satishkumar, selaku plaintif, gagal membuktikan wujudnya kontrak antara mereka dengan Vel, iaitu defendan.

“Tiada perjanjian bertulis antara plaintif dan defendan,” kata hakim, yang menambah bahawa Natarajen dan Satishkumar gagal membuktikan terma-terma perjanjian lisan yang didakwa berlaku antara mereka bertiga.

“Tiada keterangan yang boleh dipercayai dan meyakinkan yang menunjukkan bahawa wang berkenaan adalah pinjaman yang diberikan kepada Vel.”

“Berdasarkan keterangan saksi, mahkamah mendapati bahawa kewujudan sebarang perjanjian lisan atau kontrak tersirat, seperti yang didakwa, tidak dapat dibuktikan,” kata Abu Bakar.

Hakim mendapati ketiga-tiga beradik itu mempunyai hubungan yang akrab pada waktu wang tersebut diberikan.

Abu Bakar berkata prinsip ‘estopel’ mencegah Natarajen dan Satishkumar daripada mempertikaikan tujuan wang tersebut diberikan, maka mahkamah tidak mengizinkan mereka menarik balik kenyataan, janji, atau pendirian sebelum ini.

“Wang tersebut bukanlah pinjaman, tetapi penajaan atau geran yang diberikan kepada defendan oleh syarikat keluarga.

“Tuntutan oleh plaintif adalah sesuatu yang difikirkan kemudian apabila hubungan kekeluargaan bermasalah,” kata hakim.

Beliau juga menyatakan bahawa plaintif hanya dapat menunjukkan bahawa pembayaran dibuat melalui pindahan bank. Bagaimanapun, seperti yang diakui oleh Natarajen dan Satishkumar, tiada alasan dinyatakan semasa pembayaran dibuat untuk menunjukkan bahawa ianya adalah pinjaman.

Asmawi Ismail mewakili Vel selaku peguam, manakala Karthigesan Shanmugam dan A R Thamayanthi mewakili pihak plaintif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.