
G Gnanaraja menegaskan beliau tidak mempunyai motif untuk memerangkap Lim dalam kes projek terowong dasar laut atau menggunakan Lim untuk kepentingan peribadi.
“Jika saya benar-benar mahu mencipta masalah atau mendatangkan mudarat kepada Lim, saya akan datang ke mahkamah dan mengatakan bahawa beliau menerima empat beg (tunai) dan bukannya satu.
“Saya cuma mahu menyatakan kebenaran (selepas dituduh menipu),” katanya, menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Wan Shaharuddin meminta Gnanaraja mengulas hujah peguam Lim bahawa ahli perniagaan itu berbohong di mahkamah mengenai serahan RM2 juta kepada Lim.
Sementara itu, Gnanaraja beritahu mahkamah bahawa pada 20 Ogos 2017, seorang ahli perniagaan, Zarul Ahmad Zulkifli, menurunkan Lim di luar Publika, dan pemimpin DAP itu memegang beg berisi wang tunai.
“Saya bersetuju dengan Ramkarpal (peguam Lim) bahawa situasi itu tidak logik. Tetapi ia memang berlaku; saya mengambil gambar beliau (keluar dari kereta).
“Beliau (Lim) juga datang ke rumah saya selepas tengah malam,” tambahnya.
Perbicaraan bersambung di hadapan Hakim Azura Alwi pada 6 Mei.
Mahkamah akan menyampaikan keputusan berhubung permohonan pihak pendakwaan untuk meminda pertuduhan.
Lim dituduh menggunakan kedudukan sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk meminta 10% bahagian keuntungan daripada projek terowong dasar laut dan menerima rasuah RM3.3 juta daripada Zarul.
Beliau juga berhadapan dua pertuduhan menyalahgunakan harta dengan curang, melibatkan tanah milik kerajaan negeri bernilai RM208.7 juta.