Kes bunuh: 2 bekas pelajar ditahan selama diperkenankan sultan

Kes bunuh: 2 bekas pelajar ditahan selama diperkenankan sultan

Mahkamah Tinggi kata mereka gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan.

Taiping High Court
Mahkamah Tinggi Taiping memerintahkan dua remaja ditahan bagi menggantikan hukuman mati, memandangkan mereka pesalah bawah umur ketika kejadian. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Taiping memerintahkan dua bekas pelajar ditahan selama diperkenankan Sultan Perak, atas kesalahan membunuh tujuh tahun lalu.

Pasangan tersebut — seorang lelaki dan seorang perempuan — membunuh abang kepada remaja perempuan itu, yang dikenal pasti sebagai ‘SM’, pada 5 Julai 2019 di rumah keluarga mereka di Kamunting.

Kini berusia 22 dan 21 tahun, mereka masing-masing berumur 15 dan 14 tahun ketika kesalahan itu dilakukan.

Hakim Noor Ruwena Nurdin, mendapati mereka bersalah atas pertuduhan membunuh, dan memerintahkan mereka ditahan mengikut Seksyen 97(2) Akta Kanak-kanak bagi menggantikan hukuman mati, memandangkan mereka pesalah bawah umur ketika kejadian.

Beliau berkata kedua-dua tertuduh, pada pertimbangan mahkamah, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan, dan menambah bahawa kematian SM adalah pembunuhan yang dirancang.

Menurut fakta kes, polis menemui mayat SM yang dibungkus dengan plastik dan diikat kemas dengan tali rafia di pintu belakang rumah jiran.

Pakar patologi forensik dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Dr Shafie Othman, berkata SM meninggal dunia akibat pendarahan berlebihan yang berpunca daripada luka tikaman pada leher. Doktor turut menemui pelbagai kecederaan lain pada anggota badan mangsa.

Semasa perbicaraan, mahkamah diberitahu bahawa SM tidak menyukai lingkungan rakan-rakan adiknya.

Seorang saksi dalam kumpulan rakan tersebut memberi keterangan bahawa tertuduh lelaki pernah menyatakan niat untuk membunuh SM kerana mangsa suka mengganggu rakan-rakan mereka.

Saksi itu beritahu mahkamah bahawa tertuduh perempuan menghubunginya semula melalui panggilan video pada 5 Julai, di mana saksi itu melihat SM terbaring di atas katil dengan tertuduh lelaki duduk di atas mangsa.

Katanya, dia melihat kesan darah pada pakaian tertuduh lelaki, yang disifatkan sebagai sangat mengerikan.

Dalam pembelaan mereka, kedua-dua tertuduh mendakwa adalah mustahil bagi mereka menumbangkan SM memandangkan saiz fizikal mangsa yang besar.

Bagaimanapun, Ruwena memutuskan bahawa pembelaan tersebut penafian semata-mata.

“Saya bersetuju dengan pendapat pakar (pakar patologi forensik) bahawa jika diberi peluang yang tepat, dan saya ingin tambah, ‘akal’ juga, individu bertubuh kecil mampu menumbangkan lawan yang lebih besar dan melumpuhkannya, seterusnya memberikan pukulan maut.

“Saya tidak dapat bayangkan kesakitan, keputusasaan, dan ketidakberdayaan yang dirasai si mati semasa dia perlahan-lahan mati akibat pendarahan,” katanya.

Mahkamah menyifatkan kedua-dua tertuduh sebagai “kanak-kanak bijak” yang mengetahui apa yang mereka lakukan.

“Tertuduh lelaki tidak berjaya mendapatkan sesiapa untuk memandu kereta bagi membuang mayat di tempat lain, jadi mereka hanya meninggalkannya berhampiran lokasi kejadian selepas berusaha menutup mayat tersebut supaya tidak ditemui serta-merta,” kata Ruwena.

Pada pemerhatian hakim, kedua-dua tertuduh tidak menunjukkan sebarang rasa kesal atas perbuatan mereka.

“Satu nyawa telah hilang secara tragis dan sia-sia. Mereka kini mesti membayar atas jenayah yang dilakukan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.