Firma insurans diperintah bayar RM1.245 juta kepada pemilik kereta

Firma insurans diperintah bayar RM1.245 juta kepada pemilik kereta

Mahkamah Tinggi KL turut memerintahkan Pacific & Orient Insurance Co Bhd bayar RM50,000 kepada Lai Leong Peng untuk kos.

Porsche 911 GT3 RS
Fakta kes menunjukkan Porsche 911 GT3 RS milik Lai Leong Peng didaftarkan di Langkawi bawah rejim bebas cukai dan diinsuranskan pada nilai RM1.225 juta. (Gambar Porsche)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi memerintahkan sebuah syarikat insurans membayar RM1.245 juta kepada seorang pemilik kereta mewah, iaitu jumlah penuh yang diinsuranskan berserta caj-caj berkaitan lain, selepas kenderaan yang berdaftar di Langkawi diisytiharkan sebagai “tidak berhemat dibaiki” (BER) susulan kemalangan.

Hakim Leong Wai Hong turut memerintahkan Pacific & Orient Insurance Co Bhd membayar faedah pada kadar 5% setahun kepada plaintif, Lai Leong Peng, bermula dari tarikh saman difailkan sehingga penyelesaian penuh.

Beliau juga memberikan RM50,000 kepada Lai untuk kos.

Selain itu, Leong memerintahkan syarikat insurans terbabit membayar caj tunda kenderaan sebanyak RM5,150, caj penyimpanan kenderaan sebanyak RM13,317.80, dan perbelanjaan perubatan yang ditanggung di Klinik Pakar Au Yong untuk rawatan psikiatri berjumlah RM2,059.

Beliau selanjutnya memerintahkan agar ganti rugi am bagi tekanan mental yang dialami oleh Lai ditaksirkan terhadap defendan.

Syarikat insurans tersebut telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Kereta Porsche 911 GT3 RS milik Lai didaftarkan di Langkawi bawah rejim bebas cukai dan diinsuranskan pada nilai RM1.225 juta.

Susulan kemalangan pada Oktober 2022, syarikat insurans menilai kenderaan tersebut sebagai BER dan pada mulanya menawarkan RM1.225 juta selepas ekses ditolak.

Bagaimanapun, syarikat insurans itu kemudian mengenakan syarat yang memerlukan plaintif membayar duti kastam ke atas kenderaan tersebut terlebih dahulu sebelum bayaran tuntutan insurans boleh dilepaskan.

Lai menolak syarat berkenaan dan memfailkan saman, berhujah bahawa polisi insurans mahupun undang-undang tidak menghendaki beliau membayar duti kastam sebelum menerima indemniti.

Syarikat insurans itu kemudian mendakwa plaintif menggunakan alamat Langkawi yang palsu dan mendakwa wujudnya isu kegagalan mendedahkan maklumat (non-disclosure) serta salah nyata (misrepresentation).

Tuntutan bayar duti kastam ‘berniat jahat’

Leong dalam penghakiman memutuskan bahawa tuntutan syarikat insurans untuk pembayaran duti kastam bukan sebahagian daripada kontrak insurans dan menyifatkan syarat tersebut sebagai “tersasar dan berniat jahat”.

Mahkamah mendapati syarikat insurans telah pun menerima liabiliti dengan mengkelaskan kenderaan tersebut sebagai BER dan membuat tawaran tanpa membangkitkan sebarang isu mengenai kegagalan mendedahkan maklumat.

Mahkamah turut menolak dakwaan syarikat insurans bahawa alamat Langkawi itu adalah palsu, menyatakan bahawa alamat tersebut wujud, telah diterima oleh Jabatan Pengangkutan Jalan dan kastam, serta tiada sebarang siasatan atau pendakwaan dimulakan terhadap plaintif.

Beliau berkata syarikat insurans tidak boleh kemudiannya menolak polisi tersebut atas dakwaan salah nyata kerana ia gagal berbuat demikian mengikut Seksyen 19 Akta Kontrak.

“Keterangan daripada saksi syarikat insurans sendiri mengesahkan bahawa polisi tersebut tidak pernah ditolak,” katanya.

Lee Chan Leong dan Goh Chin How mewakili plaintif selaku peguam, manakala Viknesvaran Kanagathipillai dan Archana Devi Thirumalai hadir bagi pihak defendan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.