
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, memaklumkan kepada Hakim Noor Ruwena Nurdin, bekas menteri kewangan itu akan memberi keterangan dalam prosiding seterusnya pada 6 Julai ini.
Peguam Muhyiddin, Amer Hamzah Arshad, memberitahu mahkamah pihak pembelaan belum menerima kenyataan saksi Tengku Zafrul.
“Kami masih belum terima kenyataan saksinya. Saya difahamkan kenyataan itu agak panjang,” katanya.
Dalam maklum balasnya, Wan Shaharuddin berkata pihak pendakwaan akan menyerahkan kenyataan itu kepada pembelaan selewat-lewatnya pada 19 Jun.
Tengku Zafrul adalah menteri kewangan ketika Muhyiddin menjadi perdana menteri dari Februari 2020 hingga Ogos 2021.
Hakim turut menegur pihak pendakwaan selepas memohon supaya prosiding esok ditangguhkan dengan alasan saksi mereka, seorang pegawai Jabatan Kerja Raya bercuti sempena Aidiladha yang akan disambut pada Rabu.
“Saya harap kes ini diberi keutamaan seperti kes lain. Ini adalah kes berprofil tinggi. Orang ramai memerhati dan ia perlu diberi keutamaan.
“Saya pasti Tan Sri (Muhyiddin) juga mahu kesnya diselesaikan segera. Jika tidak, ia akan menjejaskan pergerakannya,” katanya sambil mengingatkan pihak pendakwaan menutup kes sebelum 14 Sept.
Seramai 10 saksi pendakwaan memberi keterangan sejak perbicaraan bermula pada Mac dengan 20 lagi dijangka dipanggil menjelang September.
Saksi pendakwaan ke-10, Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), R Harshini, sebelum ini mengesahkan rekod korporat empat entiti didakwa terlibat dalam kes tersebut iaitu Mamfor Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Sutracom Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd.
Muhyiddin, 78, berdepan tujuh pertuduhan berkait program Jana Wibawa bawah pentadbirannya, iaitu inisiatif kerajaan yang diperkenalkan ketika pandemik Covid-19 bagi membantu kontraktor Bumiputera.
Beliau didakwa atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM225.3 juta bagi Bersatu daripada tiga syarikat dan seorang individu: Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd, dan ahli perniagaan Azman Yusoff.
Ahli Parlimen Pagoh didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Perdana Menteri antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.
Muhyiddin juga berdepan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM200 juta didakwa diterima daripada Bukhary Equity dan dimasukkan ke akaun Bersatu di AmBank dan CIMB Bank.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di AmBank, Petaling Jaya dan CIMB Bank di Jalan Stesen Sentral, Kuala Lumpur antara 25 Feb 2021 hingga 8 Julai 2022.
Pasukan pembelaan terdiri Amer Hamzah, Hisyam Teh Poh Teik, Rosli Dahlan, Chetan Jethwani, K Kumaraendran, Kee Wei Loon, Low Wei Loke, Siti Summaiyah Ahmad Jaafar, Lee Yei Wei, Tang Jia Yearn dan Joshua Tay.
Manakala pendakwaan pula diwakili Wan Shaharuddin, Akram Gharib, Noralis Mat, Mahadi Jumaat, Alis Izzati Azurin Rusdi dan Safari Abdullah.