
Hakim Norliza Othman membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas wanita terbabit yang juga jurubahasa bebas, Leong Eng Eng, 41, dan dua lelaki, Lim Yon Hay, 40, dan Mok Kum Loon, 41.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 dan Seksyen 109 kanun sama.
Menurut Berita Harian, mahkamah turut membenarkan pertuduhan ke atas adik kepada Yon Hay, iaitu Yon Loon, ditarik balik berikutan tertuduh meninggal dunia akibat tibi, tahun lalu.
Dalam penghakimannya, Norliza memaklumkan, pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen, sama ada melalui keterangan terus mana-mana saksi atau berdasarkan keadaan bahawa semua tertuduh membunuh dan bersubahat dalam kejadian itu.
“Untuk membuktikan Leong membunuh suaminya, pihak pendakwaan memerlukan lebih daripada sekadar menunjukkan tompokan darah di baju dan seluar tertuduh itu.
“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dikemukakan pihak pendakwaan didapati agak kabur kecuali Leong yang juga satu-satunya wanita dalam rakaman itu dan tiada apa yang pelik mengenainya kerana dia berada di kawasan rumahnya,” katanya.
Justeru, hakim berkata, bukti rakaman CCTV dikemukakan tidak boleh diterima apabila pihak pendakwaan gagal mengemukakan sijil di bawah Seksyen 90A Akta Keterangan 1950 bagi menyangkal hujahan pembelaan bahawa ia dokumen janaan komputer.
Katanya, pihak pendakwaan hanya mengemukakan memori kad yang dirampas oleh pegawai penyiasat yang mengakibatkan tiada perbandingan dibuat dengan peranti asal bagi mengesahkannya.
“Tiada juga keterangan dikemukakan bahawa sejumlah RM2,600 disyaki wang upahan kepada Hon Hay. Dari sudut lain adalah kelemahan siasatan oleh pegawai penyiasat apabila tiada rakaman penting iaitu pergelutan untuk menunjukkan suspek yang bergelut dengan si mati dan mencederakannya adalah semua tertuduh,” katanya.
Justeru, katanya, pegawai penyiasat gagal menyiasat rantaian antara semua tertuduh dalam kes, termasuk siapa yang hadir di rumah terbabit pada malam itu dan kaitan mereka dengan Leong.
“Oleh itu ketiga-tiga kamu dilepas dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil membela diri atas pertuduhan-pertuduhan ini.”
Leong bersama Yon Hay, Kum Loon, dan seorang yang telah meninggal dunia didakwa bersubahat menyebabkan kematian Chow Tiam Hee, 41, di sebuah rumah di Taman Anika Baru, Sungai Udang, dekat Klang, kira-kira 1.20 pagi, 15 Sept 2022.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ashiqin Zulkifli, manakala Leong diwakili peguam, Mohd Daud Leong Abdullah; Yon Hay diwakili peguam, Tan Choon Hong , dan Mok Kum Loon diwakili Ayasamy Velu.
Seramai 22 saksi pendakwaan dikemukakan sepanjang perbicaraan bermula September 2023.