Keputusan permohonan Zahid bebas 47 tuduhan berkait Yayasan Akalbudi 14 Mei

Keputusan permohonan Zahid bebas 47 tuduhan berkait Yayasan Akalbudi 14 Mei

Timbalan perdana menteri memfailkan permohonan itu atas alasan AGC melalui kenyataan media memutuskan tiada tindakan lanjut terhadap semua pertuduhan.

Ahmad Zahid Hamidi in court bernama pic 15426
Pada 4 Sept 2023, Mahkamah Tinggi di sini melepas tanpa membebaskan Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Keputusan permohonan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi untuk dilepaskan dan dibebaskan daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi akan diketahui pada 14 Mei ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor menetapkan tarikh itu selepas peguam Hamidi Mohd Noh mewakili Zahid memaklumkan pihaknya memohon untuk menangguhkan keputusan yang sepatutnya ditetapkan hari ini sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mei ini.

“Mahkamah menetapkan 14 Mei untuk keputusan tertakluk kepada keputusan Mahkamah Rayuan yang akan diberikan pada 7 Mei,” kata Hakim Nurulhuda Nur’aini.

Terdahulu, Hamidi berkata pada 20 April lepas, pihaknya memfailkan surat bagi memohon tarikh keputusan hari ini dilapangkan sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan.

“Pihak-pihak telah berbincang agar mahkamah membenarkan tarikh 14 Mei untuk keputusan bagi kes ini,” kata peguam itu dan menambah kehadiran Zahid hari ini dikecualikan.

Prosiding itu turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahrizzat Armadan dan peguam pemerhati bagi Badan Peguam iaitu Collin Andrew.

Badan Peguam memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Peguam Negara memberhentikan prosiding kes Zahid itu.

Pada 24 Feb lepas, pihak pendakwaan tidak membantah permohonan Zahid untuk dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut, namun Hakim Nurulhuda memaklumkan mahkamah tidak akan membuat keputusan terhadap permohonan itu sehingga keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes melibatkan Badan Peguam Malaysia.

Badan Peguam sebagai amicus curiae telah menyerahkan surat bantahan terhadap permohonan Zahid itu pada tarikh sama (24 Feb), namun dibantah peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Zahid memfailkan permohonan pembebasan penuh itu atas alasan Jabatan Peguam Negara (AGC) melalui kenyataan media memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap kesemua 47 pertuduhan berkenaan.

AGC dalam kenyataan media pada 8 Jan lepas, memaklumkan tiada tindakan lanjut terhadap 47 pertuduhan tersebut selepas meneliti keseluruhan bahan dan keterangan baharu.

Pada 12 Jan lepas, Peguam Negara Dusuki Mokhtar menegaskan keputusan untuk mengklasifikasikan kes Zahid sebagai tiada tindakan lanjut dibuat hanya selepas pihak pendakwaan mengkaji dengan teliti enam representasi yang dikemukakan oleh presiden Umno itu.

Dusuki berkata keputusan oleh AGC itu tidak dibuat secara ‘suka-suka’ dan jabatan itu tidak akan memberikan ‘No Further Action’ tanpa penilaian menyeluruh terhadap fakta, bukti dan merit undang-undang sesuatu kes.

Pada 4 Sept 2023, Mahkamah Tinggi di sini melepas tanpa membebaskan Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Collin Lawrence Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan, membuat keputusan itu selepas pendakwaan memaklumkan AGC memberhentikan prosiding terhadap Zahid.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.