2 tekong darat didakwa seludup 12 migran

2 tekong darat didakwa seludup 12 migran

Mohd Rozi dan Solim Sultan didakwa menyeludup lapan migran warga Myanmar dan empat migran Bangladesh di Tumpat, 25 Mac lepas.

mahkamah pasir mas
Mohd Rozi Isa, 48, dan Solim Sultan Amin, 31, didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini atas pertuduhan menyeludup 12 migran warga Myanmar dan Bangladesh bulan lepas. (Gambar Facebook)
PASIR MAS:
Dua tekong darat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyeludup 12 migran warga Myanmar dan Bangladesh bulan lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Mohd Rozi Isa, 48, dan Solim Sultan Amin, 31, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mohd Rozi dan Solim Sultan yang memiliki kad pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNCHR) didakwa menjalankan penyeludupan terhadap lapan migran warga Myanmar dan empat migran Bangladesh menggunakan kereta Perodua Bezza di sebuah kawasan semak di Kampung Telaga Bata, Chabang Empat, Tumpat pada 11 malam, 25 Mac lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang boleh dihukum di bawah seksyen sama memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh didenda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aiysha Na’ilah Harizan manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam dan sebutan semula kes ditetapkan 21 Mei ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.