
Cropmate berkata, ia dimaklumkan pada 24 April lalu bahawa akaun itu dibekukan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Berdasarkan maklumat sedia ada, katanya, tiada petunjuk perkara itu membabitkan sebarang salah laku oleh pihak pengurusan atau kakitangannya.
“Kami komited untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dan menyokong sepenuhnya proses siasatan,” kata lembaga pengarahnya.
“Perniagaan kami kekal stabil dan pelanggan serta rakan kongsi kami tidak terjejas. Operasi diteruskan seperti biasa, disokong pengaturan perbankan sedia ada dan kami kekal fokus memberikan nilai kepada pihak berkepentingan.”
Jelasnya, ia telah mengambil langkah untuk memudahkan akaunnya dinyahbekukan.
“Cropmate sentiasa menjalankan perniagaan dengan mematuhi semua undang-undang, peraturan dan garis panduan, serta tidak menyedari sebarang salah laku.”
Tambahnya, pembekuan akaun itu dijangka tidak memberi sebarang kesan kewangan atau operasi kumpulan.