SKMM saman kerana kecuaian, Sunway Lagoon nafi liabiliti

SKMM saman kerana kecuaian, Sunway Lagoon nafi liabiliti

Saman berkait kes keracunan makanan ketika acara hari keluarga itu dijadual untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam 29 April ini.

shah alam court
SKMM memfailkan saman terhadap Sunway Lagoon Sdn Bhd susulan kes keracunan makanan ketika acara hari keluarga di taman tema itu, enam bulan lalu.
PETALING JAYA:
Saman bernilai jutaan ringgit yang dibawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap pemilik Sunway Lagoon Sdn Bhd berkait kes keracunan makanan pada acara hari keluarga di taman tema itu tahun lalu, semakin hampir ke perbicaraan.

Saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2 Jan itu dijadualkan untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Anita Harun pada 29 April ini.

Dalam samannya, SKMM menuntut bayaran balik penuh RM1,819,800 yang dibayar di bawah kontrak dengan Sunway Lagoon bertarikh 5 Ogos 2025, perbelanjaan perubatan RM30,339.75, ganti rugi am, teruk dan teladan, serta kos, atas dakwaan pelanggaran kontrak dan kecuaian.

Pengendali taman tema itu bagaimanapun menafikan sebarang liabiliti dan memohon supaya saman itu ditolak dengan kos.

Menurut pernyataan tuntutan MCMC, pihaknya melantik Sunway Lagoon untuk menganjurkan acara hari keluarga melibatkan 6,590 tetamu.

“Semasa hari keluarga itu, seorang pekerja plaintif (SKMM) secara lisan memaklumkan kepada wakil defendan bahawa salah satu hidangan makan tengah hari yang disediakan berbau dan berasa masam.

“Namun, tiada tindakan diambil oleh defendan (Sunway Lagoon),” menurut dokumen tersebut.

SKMM mendakwa dalam tempoh dua hari berikutnya, lebih 870 peserta dilaporkan mengalami cirit-birit, muntah, demam dan sakit perut.

Selepas acara itu, SKMM berkata pihaknya membuat laporan kepada polis dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, yang membawa kepada penutupan dapur taman tema itu selama 14 hari bermula 7 Okt 2025.

Sebulan kemudian, jabatan kesihatan negeri itu mengeluarkan kenyataan media bahawa 322 daripada 4,710 peserta mengalami gejala cirit-birit, muntah dan sakit perut, namun tiada kematian atau penyakit serius dilaporkan.

Jabatan itu berkata kejadian itu berpunca daripada makanan dan peralatan memasak yang tercemar, penyediaan makanan dalam jumlah besar oleh bilangan pengendali yang terhad, penyimpanan makanan yang dimasak terlalu lama sebelum dihidangkan, serta kemungkinan pencemaran silang semasa penyediaan makanan.

“Adalah jelas bahawa kesan kesihatan yang buruk itu berpunca secara langsung daripada perkara-perkara yang berada dalam kawalan dan tanggungjawab defendan,” menurut pernyataan tuntutan itu.

SKMM mendakwa Sunway Lagoon melanggar kontrak atau cuai dalam pelaksanaan perkhidmatannya, ‘khususnya berkaitan penyediaan makanan dan minuman’.

SKMM berkata pihaknya mengalami kerugian dan kerosakan akibat kejadian itu, termasuk kerugian akibat gangguan operasi (kerana) pekerja tidak dapat hadir bekerja, serta kerosakan reputasi.

Pernyataan tuntutan itu turut menyatakan bahawa ganti rugi teruk dan teladan wajar diberikan berikutan jumlah individu yang terjejas yang sangat ramai serta kehadiran pegawai kanan pada acara itu, termasuk seorang anggota Jemaah Menteri.

Pembelaan Sunway Lagoon

Dalam pembelaannya, Sunway Lagoon menafikan melanggar kontrak atau cuai, dan berkata semua hidangan disediakan mengikut prosedur operasi standard syarikat.

Syarikat itu mendakwa, makanan dipantau dari segi kualiti dan kuantiti, dibungkus tidak lebih dua jam sebelum waktu hidangan, serta diperiksa setiap 30 minit bagi memastikan kesegaran.

“Kawasan dapur dibersihkan setiap hari, dan proses sanitasi peralatan dapur dijalankan setiap bulan oleh pekerja defendan,” menurut pernyataan pembelaan itu.

Ia juga berkata SKMM gagal membuktikan bahawa pengendali itu bertanggungjawab terhadap insiden keracunan makanan tersebut.

“Adalah bersifat spekulatif untuk mengaitkan insiden (keracunan makanan) yang didakwa itu kepada defendan, memandangkan jumlah peserta yang dilaporkan terjejas hanyalah 322 orang, iaitu peratusan yang sangat kecil daripada jumlah keseluruhan peserta acara tersebut.”

Sunway Lagoon turut menyatakan pihaknya tidak menerima sebarang aduan semasa acara bahawa hidangan makan tengah hari ‘berbau dan berasa masam’ seperti didakwa SKMM.

“Plaintif perlu mengemukakan bukti kukuh bahawa aduan sedemikian telah dibuat,” menurut dokumen yang difailkan pada 23 Feb.

Pengendali taman tema itu juga mempertikaikan dakwaan SKMM bahawa 870 peserta jatuh sakit, dengan merujuk kepada kenyataan media jabatan kesihatan yang meletakkan angka tersebut pada 322 orang.

Sunway Lagoon mengakui unit makanan dan minumannya ditutup selama dua minggu, namun berkata ia dibenarkan beroperasi semula mulai 22 Okt selepas mematuhi arahan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

“Walaupun terdapat arahan yang dikeluarkan, tiada bukti saintifik atau perubatan yang membuktikan sumber pencemaran makanan yang didakwa itu datang dari dapur defendan,” menurut pernyataan pembelaan tersebut.

Ia turut mendakwa SKMM menyumbang kepada kecuaian kerana tidak memeriksa makanan berbungkus selepas diterima dan gagal mengarahkan peserta supaya memakan makanan tersebut dengan segera selepas diedarkan.

Selain itu, ia berkata peserta juga menyumbang kepada kecuaian kerana tidak mematuhi amalan kebersihan diri seperti mencuci tangan dengan betul sebelum makan.

Sunway Lagoon juga mencabar dakwaan SKMM bahawa ia mengalami ‘gangguan perniagaan’, dengan menyatakan bahawa sebuah badan pengawal selia tidak boleh mengalami kerugian komersial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.