
Dua kod yang diperkenalkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) itu ialah Kod Perlindungan Kanak-kanak (CPC) serta Kod Pengurangan Risiko (RMC).
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata antara dokumen yang boleh digunakan pengguna termasuk kad pengenalan dan pasport bagi menyekat pengguna bawah 16 tahun membuka akaun media sosial.
“Sekarang kita telah meminta platform melaksanakan age verification (pengesahan umur). Pengguna perlu mengesahkan umur menggunakan dokumen dikeluarkan kerajaan seperti kad pengenalan, pasport atau dokumen rasmi lain.
“Kalau sekadar self-declare (isytihar sendiri), sesiapa sahaja boleh klik dan mengaku mereka berumur lebih 18 tahun,” katanya selepas merasmikan Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat, di sini, semalam.
Teo bagaimanapun berkata, SKMM tidak menetapkan teknologi khusus yang perlu digunakan platform media sosial bagi tujuan pengesahan umur dan kerajaan akan memberikan tempoh sewajarnya untuk melaksanakan proses itu sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.
“Untuk akaun sedia ada dan belum buat pengesahan umur, SKMM masih bincang tempoh munasabah selepas berbincang dengan platform media sosial terlibat, antaranya TikTok, Facebook dan Instagram.
“Sesiapa yang tidak membuat pengesahan berkemungkinan akaun (akan) ditutup atau platform media sosial perlu menggunakan kecerdasan buatan untuk pastikan pengguna berumur 16 tahun ke atas.”
Kerajaan sebelum ini memutuskan kanak-kanak bawah 16 tahun tidak dibenarkan membuka atau memiliki akaun media sosial bagi platform mempunyai lebih lapan juta pengguna di Malaysia.
Teo berkata, dua kod berkenaan diterbitkan selepas sesi libat urus bersama pemain industri, pertubuhan masyarakat sivil dan pihak berkepentingan sejak awal tahun ini.
Terdahulu, Teo dalam ucapannya berkata, sebanyak 23,367 kes penipuan dalam talian dilaporkan dengan kerugian berjumlah RM680.3 juta dari Januari hingga April tahun ini.
Sejak Kempen Internet Selamat dilancarkan pada Januari 2025 hingga 30 April lalu, katanya, lebih 11,000 program dilaksanakan di seluruh negara melibatkan lebih 1.8 juta peserta terdiri daripada pelajar sekolah, belia, ibu bapa, pendidik, warga emas dan komuniti setempat.