Bukit Aman siasat akaun hina Agong

Bukit Aman siasat akaun hina Agong

Siasatan menjurus akaun palsu TikTok menggunakan nama 'Sultan Ibrahim Ismail’.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) M Kumar, berkata kes disiasat di bawah Akta Hasutan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bukit Aman membuka kertas siasatan berkait kandungan memfitnah dan menghina Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim melalui akaun palsu TikTok.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) M Kumar, berkata siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), JSJ Bukit Aman.

“Pada masa ini, siasatan dijalankan di bawah Akta Hasutan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mengaibkan seseorang dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan,” katanya.

Menurutnya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan perkhidmatan atau kemudahan rangkaian.

Kumar turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati mengeluarkan sebarang hantaran di media sosial terutama membabitkan isu agama, kaum, dan institusi diraja (3R).

“Pihak JSJ tidak akan sekali-kali berkompromi dalam perkara yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan ketenteraman awam, bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan sentiasa terpelihara,” katanya.

Semalam, Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor menyeru Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat dengan akaun media sosial memuat naik kandungan bersifat fitnah dan penghinaan terhadap Sultan Ibrahim.

Menurut kenyataan itu, akaun TikTok palsu menggunakan nama ‘Sultan Ibrahim Ismail’ memuat naik video memaparkan gambar Sultan Ibrahim kononnya gemar memakan daging babi.

Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor menyifatkan tuduhan itu sebagai penghinaan serius, berniat jahat serta sensitif memandangkan baginda ialah raja Melayu dan ketua negara beragama Islam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.