
Kumar berkata siasatan itu dibuat selepas pihaknya menerima 28 laporan polis di seluruh negara berhubung hantaran veteran DAP berkenaan, lapor Berita Harian.
“Kita telah memulakan siasatan selepas menerima 28 laporan polis dari seluruh negara.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya yang dipetik sebagai berkata.
Menurutnya lagi, Pua dan semua pihak berkaitan akan dipanggil bagi membantu siasatan dalam masa terdekat.
Pua membuat hantaran di Facebook menyentuh kedudukan Raja Berperlembagaan, selain menekankan ‘kita tidak hidup dalam sistem di mana monarki boleh mengeluarkan titah yang mengikat bagi semua aspek kehidupan rakyat’.
Beliau turut menyeru semua rakyat membaca dan memahami prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutun, selain menegaskan setia kepada ‘raja dan negara’ berdasarkan Perlembagaan dan bukannya titah.
Semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyarankan Adun Seri Kembangan Wong Siew Ki dan bekas exco Selangor Ronnie Liu hadir sekurang-kurangnya seminggu sekali ke Dataran Selangor bagi memahami dan menghayati prinsip Rukun Negara serta menghormati kedaulatan institusi diraja.
Menurut Baginda, langkah itu penting supaya mereka menjadi rakyat yang memahami adab kesopanan dan kesusilaan selain menghormati institusi raja.
Titah itu menyusul ketika kontroversi berhubung reaksi Wong dan Liu terhadap titah Sultan Selangor supaya penternakan babi di negeri itu dihentikan sepenuhnya.