
Dalam kenyataan, Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan, berkata respons Pua telah meningkatkan kebimbangan orang ramai.
Bekas Ahli Parlimen Damansara itu pada Selasa berkata, kuasa raja adalah terhad kepada aspek tertentu seperti adat Melayu, Islam dan peranan berperlembagaan seperti pelantikan menteri besar serta perkenan pembubaran DUN.
Pua, yang merupakan penasihat dasar kepada Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook, berkata ‘kita tidak hidup dalam sistem di mana monarki boleh mengeluarkan titah yang mengikat bagi semua aspek kehidupan rakyat’.
Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini menitahkan Adun DAP Wong Siew Ki dan bekas pemimpin parti itu Ronnie Liu lebih memahami Rukun Negara dan menghormati institusi diraja.
Kenyataan itu dibuat susulan kontroversi berkaitan reaksi Wong dan Liu terhadap titah sultan yang mahukan penternakan babi di negeri itu ditamatkan sepenuhnya.
Umno kemudian mengecam Pua kerana didakwa tidak menghormati institusi diraja dan bersikap biadab.
Takiyuddin berkata, titah sultan perlu dilihat dalam konteks menyeru kepada kesederhanaan bagi mengelakkan sentimen perkauman dibangkitkan atau penghinaan terhadap institusi diraja.
“Malangnya, respons Pua hanya meningkatkan kebimbangan orang ramai selain mencetuskan kontroversi yang tidak perlu ketika ketegangan memuncak dan hubungan kaum semakin tegang,” katanya.
Beliau berkata, sebarang respons terhadap raja-raja Melayu mesti dibuat secara berhemah dan penuh hormat.
Katanya, isu dibangkitkan Pua mungkin dilihat berkaitan tadbir urus tetapi juga boleh memecahbelahkan masyarakat jika dibahaskan dalam suasana penuh emosi dan dipolitikkan.
Takiyuddin turut mengkritik amalan berselindung di sebalik Perlembagaan Persekutuan atau definisi raja berperlembagaan untuk mempersoalkan titah sultan apabila ia tidak selari dengan kepentingan tertentu, sambil menyifatkan tindakan itu hanya menunjukkan sikap hipokrit dan oportunis.
“Ia sama sekali tidak membuktikan bahawa mereka bersifat patriotik atau menghormati undang-undang,” katanya tanpa memberikan contoh khusus.