
Ketika menyambung keterangannya dalam perbicaraan rasuah bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, penolong pengurus Bank Muamalat cawangan PKNS Shah Alam, Norazeanti Miswan berkata surat berkenaan dilampirkan bersama borang kiriman wang yang digunakan untuk memindahkan dana kepada Bersatu.
Semalam, Norazeanti, 39, memberitahu mahkamah bahawa Mamfor memindahkan RM19.5 juta kepada Bersatu melalui 29 cek jurubank pada 2021 dan 2022.
Saksi pendakwaan kesembilan itu turut memberi keterangan cawangan bank berkenaan menandakan transaksi tersebut dan menyerahkan laporan aktiviti mencurigakan kepada ibu pejabatnya kerana kekerapan transaksi dan jumlah wang yang besar dianggap luar biasa.
Ketika disoal balas peguam Muhyiddin, Amer Hamzah Arshad, Norazeanti dirujuk kepada dokumen yang mengandungi surat dialamatkan kepada ibu pejabat Bersatu.
Amer: Semua surat itu menyatakan ia adalah sumbangan kepada Bersatu?
Norazeanti: Setuju.
Amer: Setuju bahawa semua surat itu dialamatkan kepada bendahari parti, bukan presiden?
Norazeanti: Setuju.
Amer: Semua dokumen ini diberikan kepada bank sebagai dokumen sokongan?
Norazeanti: Setuju.
Norazeanti juga bersetuju dengan cadangan Amer bahawa penyerahan laporan aktiviti mencurigakan berhubung transaksi luar biasa itu tidak dengan sendirinya bermaksud transaksi tersebut menyalahi undang-undang.
Beliau mengesahkan ibu pejabat bank tidak mengarahkannya menghentikan pemprosesan transaksi melibatkan Mamfor, walaupun beberapa laporan aktiviti mencurigakan telah dikemukakan.
Beliau turut bersetuju dengan pihak pembelaan bahawa berdasarkan surat sokongan dan dokumen berkaitan, sumbangan itu ditujukan kepada Bersatu, bukannya kepada Muhyiddin secara peribadi.
Muhyiddin, 78, berdepan tujuh pertuduhan berkait program Jana Wibawa, iaitu inisiatif kerajaan yang diperkenalkan ketika pandemik Covid-19 bagi membantu kontraktor Bumiputera.
Presiden Bersatu dan bekas perdana menteri itu didakwa atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti itu daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan ahli perniagaan Azman Yusoff.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Muhyiddin turut berdepan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM200 juta, yang didakwa diterima daripada Bukhary Equity dan dimasukkan ke dalam akaun Bersatu di AmBank dan CIMB Bank.
Kesalahan itu didakwa berlaku di AmBank, Petaling Jaya, dan CIMB Bank di Jalan Stesen Sentral antara 25 Feb 2021 dan 8 Julai 2022.
Barisan pembelaan terdiri daripada Amer, Hisyam Teh Poh Teik, Rosli Dahlan, Chetan Jethwani, K Kumaraendran, Kee Wei Loon, Low Wei Loke, Siti Summaiyah Ahmad Jaafar, Lee Yei Wei, Tang Jia Yearn dan Joshua Tay.
Pasukan pendakwaan pula terdiri daripada Wan Shaharuddin Wan Ladin, Akram Gharib, Noralis Mat, Mahadi Jumaat, Alis Izzati Azurin Rusdi dan Safari Abdullah.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Nurdin bersambung pada 25 Mei.