
Pembedahan Tan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru dijangka mengambil masa kira-kira empat jam, lapor Kosmo.
Bekas setiausaha Bersekutu Bersatu Johor Yeo Kwee Kwang berkata, beliau dimaklumkan Tan dikejarkan ke HSI pada 5.30 petang selepas menerima rawatan awal di Hospital Kota Tinggi.
“Kami tidak pasti keadaan sebenar sama ada beliau sedar atau tidak kerana maklumat masih terhad,” katanya.
Yeo berkata, kecederaan dipercayai berlaku ketika Tan sedang menjalani latihan senjata api di sebuah lapang sasar di Kota Tinggi, Johor.
Ketua Polis Kota Tinggi Yusof Othman berkata, beliau akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu dalam masa terdekat.
Pada 13 Feb lepas, Tan meninggalkan Bersatu dan meletak jawatan sebagai ketua Bersekutu Johor selepas menyuarakan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Muhyiddin Yassin.
Tan bertanding di kerusi DUN Bekok di Johor pada PRN 2022, namun hanya berjaya meraih 2,881 undi dalam pertembungan empat penjuru.
Calon Barisan Nasional Tan Chong menang di kerusi itu dengan 7,036 undi, memperoleh majoriti 3,569 undi menewaskan calon Pakatan Harapan M Kanan.