RM19.5 juta dimasuk ke akaun Bersatu melalui 29 transaksi kerap, kata saksi

RM19.5 juta dimasuk ke akaun Bersatu melalui 29 transaksi kerap, kata saksi

Seorang penolong pengurus bank berkata Mamfor Sdn Bhd mengeluarkan 29 cek jurubank bertanda 'sumbangan' kepada parti itu antara 12 Mei 2021 hingga 16 Nov 2022.

muhyiddin yassin
Muhyiddin Yassin berdepan tujuh pertuduhan berkaitan program Jana Wibawa, inisiatif kerajaan yang diperkenalkan ketika pandemik Covid-19 untuk membantu kontraktor Bumiputera. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang pegawai bank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, beliau tidak pernah melihat transaksi kerap atau membabitkan jumlah sebesar RM19.5 juta yang didakwa disalurkan sebuah syarikat pembinaan kepada Bersatu.

Norazeanti Miswan, 39, penolong pengurus cawangan Bank Muamalat di PKNS Shah Alam ketika memberi keterangan dalam perbicaraan rasuah bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin berkata, Mamfor Sdn Bhd mengeluarkan 29 cek jurubank kepada Bersatu antara 12 Mei 2021 hingga 16 Nov 2022.

Beliau berkata bagi tahun 2021, urus niaga melibatkan RM2 juta masing-masing pada 12 Mei dan 10 Jun; RM2 juta lagi melalui empat cek bernilai RM500,000 setiap satu pada 14 Julai; serta RM1.5 juta dan RM500,000 masing-masing pada 12 dan 13 Ogos.

Norazeanti turut memaklumkan pada 2022, urus niaga berkenaan termasuk RM500,000 pada 13 Januari, RM1 juta masing-masing pada 3 dan 7 Februari, serta RM500,000 pada 8 Oktober.

Beliau berkata syarikat itu kemudiannya memindahkan RM4.5 juta kepada Bersatu melalui sembilan keping cek bernilai RM500,000 setiap satu pada 2 November; RM2 juta melalui empat keping cek bernilai RM500,000 setiap satu pada 7 November; RM1 juta melalui dua keping cek bernilai RM500,000 setiap satu pada 11 November; dan RM1 juta lagi melalui dua keping cek bernilai RM500,000 setiap satu pada 16 November.

Ketika pemeriksaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, Norazeanti menjelaskan cawangan itu menghantar laporan aktiviti mencurigakan (SAR) ke ibu pejabat bagi setiap transaksi kerana jumlah terbabit luar biasa.

Wan Shaharuddin: Mengapa laporan ini timbul?

Norazeanti: Terdapat keraguan dalam transaksi yang dilakukan Mamfor kerana nilai pengeluaran berkenaan besar, malah berlaku secara kerap.

Wan Shaharuddin: Sepanjang menjadi pegawai bank, adakah transaksi seumpama ini biasa dibuat sesebuah syarikat?

Norazeanti: Tidak. Saya tak pernah lihat transaksi seperti ini dilakukan syarikat lain.

Wan Shaharuddin: Boleh anda jelaskan perbezaannya?

Norazeanti: Kebiasaannya, syarikat akan membuat bayaran selari dengan sifat perniagaan mereka. Saya tidak pernah lihat syarikat membuat bayaran kepada parti politik.

Beliau berkata, setiap cek ditandakan “sumbangan” dan syarikat itu menutup akaunnya pada 26 Feb tahun lalu.

Ditanya sama ada syarikat itu turut memberi “sumbangan” kepada parti politik lain seperti PAS, DAP atau Umno, Norazeanti menjawab tidak.

Muhyiddin, 78, berdepan tujuh pertuduhan berkaitan program Jana Wibawa, inisiatif kerajaan yang diperkenalkan ketika pandemik Covid-19 untuk membantu kontraktor Bumiputera.

Presiden Bersatu itu didakwa atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk meminta rasuah RM225.3 juta untuk partinya daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan ahli perniagaan, Azman Yusoff.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Muhyiddin turut berdepan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM200 juta yang didakwa diterima daripada Bukhary Equity dan dimasukkan ke akaun Bersatu di AmBank serta CIMB Bank.

Kesalahan itu dikatakan berlaku di AmBank Petaling Jaya dan CIMB Bank Jalan Stesen Sentral antara 25 Feb 2021 serta 8 Julai 2022.

Pasukan pembelaan terdiri daripada Amer Hamzah Arshad, Hisyam Teh Poh Teik, Rosli Dahlan, Chetan Jethwani, K Kumaraendran, Kee Wei Loon, Low Wei Loke, Siti Summaiyah Ahmad Jaafar, Lee Yei Wei, Tang Jia Yearn dan Joshua Tay.

Selain Wan Shaharuddin, pasukan pendakwaan turut dianggotai Akram Gharib, Noralis Mat, Mahadi Jumaat, Alis Izzati Azurin Rusdi dan Safari Abdullah.

Perbicaraan di depan Hakim Noor Ruwena Nurdin diteruskan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.