Peguam gesa semak semula hukuman penjara dalam akta kanak-kanak

Peguam gesa semak semula hukuman penjara dalam akta kanak-kanak

Baljit Singh Sidhu kata hukuman penjara yang panjang sekat potensi dan bakat kanak-kanak hanya kerana satu kesilapan ketika usia muda.

Baljit Singh Sidhu and Salim Bashir
Peguam Baljit Singh Sidhu (kiri) gesa Akta Kanak-Kanak 2001 dikemaskini bagi menangani cabaran moden manakala Salim Bashir berkata Mahkamah Persekutuan diberi kuasa menyemak dan memutuskan kebebasan setiap kes kanak-kanak secara individu.
PETALING JAYA:
Akta Kanak-Kanak 2001, yang mengawal selia penjagaan, perlindungan dan pemulihan individu bawah 18 tahun, perlu dikaji semula secara menyeluruh dan segera bagi menangani cabaran semasa, kata seorang peguam.

Baljit Singh Sidhu berkata hukuman penjara tanpa tempoh tetap ‘selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong atau raja’ bagi kesalahan serius tidak banyak membantu dalam memulihkan pesalah kanak-kanak.

“Tempoh tahanan yang panjang di penjara hanya menyekat potensi seorang kanak-kanak, menanam bakat mereka hanya kerana satu kesilapan besar yang dilakukan ketika usia muda,” katanya.

Beliau berkata tahanan sedemikian berlaku ketika tempoh paling produktif dalam kehidupan seorang kanak-kanak — tahun-tahun yang sepatutnya boleh digunakan untuk cemerlang dalam pendidikan, sukan dan pembangunan sosial.

“Akta ini diperkenalkan 25 tahun lalu, dan sudah tiba masanya untuk kajian menyeluruh dibuat bersama undang-undang jenayah lain seperti Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah,” katanya kepada FMT.

Baljit berkata akta itu perlu dikemas kini bagi menangani cabaran moden, termasuk jenayah kompleks yang dipacu teknologi serta perubahan bentuk eksploitasi kanak-kanak.

Cadangan beliau itu susulan keputusan Mahkamah Persekutuan minggu lalu yang menolak permohonan tujuh banduan kanak-kanak yang memohon semakan semula hukuman mereka.

Pemohon berhujah bahawa kes mereka perlu dipertimbangkan semula susulan pindaan pada 2023 yang menukar hukuman mati mandatori dan penjara seumur hidup semula jadi bagi pesalah dewasa kepada tempoh penjara tetap.

Menyampaikan keputusan panel lima hakim itu, Collin Lawrence Sequerah berkata remedi yang tersedia kepada pesalah kanak-kanak ialah memohon pengurangan hukuman melalui proses pengampunan.

Pesalah kanak-kanak itu berhujah bahawa penahanan berterusan mereka di bawah Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001 melanggar hak perlembagaan mereka terhadap kehidupan dan layanan sama rata di bawah Perkara 5(1) dan 8, khususnya selepas pemansuhan hukuman mati mandatori dan penjara seumur hidup semula jadi bagi orang dewasa.

Sebelum 2023, orang dewasa yang disabitkan dengan kesalahan membunuh, pengedaran dadah atau penculikan berdepan hukuman mati mandatori, manakala kanak-kanak yang disabitkan atas kesalahan sama ditahan selama diperkenankan raja.

Peguam Salim Bashir berkata kegagalan Parlimen mengkaji semula Akta Kanak-Kanak ketika pindaan 2023 mungkin mewujudkan kelompongan dalam undang-undang.

Beliau mengakui Mahkamah Persekutuan mentafsir undang-undang itu dengan betul, namun menegaskan kini menjadi tanggungjawab Parlimen untuk menangani jurang tersebut.

“Pesalah kanak-kanak yang ditahan tanpa tempoh tetap atas perkenan raja bermaksud mereka dibiarkan berterusan dalam ketidakpastian, dan ini membawa kepada pelbagai masalah sosial dan mental,” katanya.

Salim berkata walaupun Akta Kanak-Kanak memperuntukkan Lembaga Pelawat Keadilan menjalankan semakan tahunan, proses dalaman mekanisme itu masih ‘kabur’.

Beliau mengimbas peristiwa pada 2007 dalam satu kes di Mahkamah Rayuan melibatkan seorang remaja yang disabitkan membunuh anak perempuan guru tuisyennya.

Hakim memutuskan bahawa sebaik sahaja seseorang disabitkan kesalahan, kuasa menjatuhkan hukuman terletak pada hakim, bukan pihak eksekutif.

Mahkamah ketika itu memutuskan bahawa tahanan atas perkenan raja adalah tidak berperlembagaan kerana ia secara tidak wajar memindahkan kuasa kehakiman kepada pihak eksekutif.

Bagaimanapun, keputusan itu dibatalkan pada tahun berikutnya oleh Mahkamah Persekutuan menerusi keputusan tipis 2-1.

Majoriti hakim memutuskan bahawa Seksyen 97 digubal secara sah oleh Parlimen dan tidak melanggar Perkara 5 atau 8 Perlembagaan Persekutuan.

Salim berkata di bawah undang-undang sedia ada, seseorang kanak-kanak hanya boleh dibebaskan jika diberikan pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan.

Beliau berkata berdasarkan keputusan terbaru Mahkamah Persekutuan, sudah tiba masanya untuk Parlimen meminda Akta Kanak-Kanak bagi menangani isu tahanan tanpa tempoh tetap.

“Dalam masa yang sama, ia juga mesti memberi kuasa kepada Mahkamah Persekutuan untuk menyemak dan memutuskan kebebasan setiap kes kanak-kanak secara individu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.