Muhyiddin kekal ‘mastermind’ PN walau lepas jawatan pengerusi

Muhyiddin kekal ‘mastermind’ PN walau lepas jawatan pengerusi

Penganalisis berkata Muhyiddin Yassin sedang bermain catur politik dan kuasa sebenar masih di tangannya.

muhyiddin yassin
Kelmarin Muhyiddin Yassin memaklumkan nama calon pengerusi PN bagi enam negeri sudah diserahkan kepada Ahmad Samsuri Mokhtar sambil menegaskan jawatan itu kuota Bersatu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tindakan Bersatu mencadangkan nama bagi jawatan pengerusi Perikatan Nasional (PN) di enam negeri dilihat langkah strategik memastikan kuasa politik gabungan terus kekal dalam genggaman parti itu.

Penganalisis Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, langkah itu bukan sekadar pengisian jawatan, sebaliknya isyarat jelas Muhyiddin Yassin masih menjadi ‘dalang utama’ PN walaupun tidak lagi memegang jawatan pengerusi pusat.

“Pengumuman awal ini juga bukan kebetulan. Ia langkah pencegahan bagi menutup ruang daripada perebutan kuasa, khususnya spekulasi kem Hamzah Zainudin. Walaupun buat masa ini tidak mungkin ‘geng’ Hamzah masuk PN, Muhyiddin mahu pastikan struktur kuasa Bersatu tidak digugat, dengan mengumumkan awal, beliau menutup pintu sebelum ada yang cuba mengetuk.

“Hakikatnya, Muhyiddin sedang bermain catur politik. Melepaskan jawatan pengerusi pusat hanyalah kosmetik; kuasa sebenar masih di tangannya. Dengan pengerusi negeri bawah kuota Bersatu, beliau memastikan PN kekal dalam orbit kawalannya. Ini bukan tentang konsensus, tetapi dominasi,” katanya kepada FMT.

Kelmarin, Muhyiddin memaklumkan nama calon pengerusi PN bagi enam negeri sudah diserahkan kepada Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar, sambil menegaskan jawatan itu kuota Bersatu.

Ia membabitkan Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sabah.

Mengulas lanjut, Zaharuddin berkata penegasan bahawa jawatan pengerusi negeri adalah kuota Bersatu menunjukkan parti itu tidak mahu berkongsi pengaruh utama dengan PAS atau kelompok lain dalam gabungan.

Katanya, apabila nama Azmin Ali kembali disebut untuk Selangor, ia memberi isyarat Bersatu mahu mengekalkan tokoh lama masih dianggap relevan walaupun rekod kemenangan belum begitu meyakinkan.

“Jawatan pengerusi negeri hanya akan bermakna jika mampu membawa kerusi. Muhyiddin sendiri mengakui PN perlukan tambahan kerusi untuk menawan Selangor.

“Maka, kuasa sebenar bukan pada jawatan, tetapi kemampuan menggerakkan jentera dan menawan pengundi. Tanpa itu, pengerusi hanyalah papan tanda politik,” katanya.

Sementara itu, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata hasrat Bersatu mengekalkan penguasaan jawatan pengerusi PN di enam negeri tidak semudah dijangka susulan krisis dalaman parti sendiri serta pengaruh semakin besar kem dikaitkan dengan Hamzah.

Katanya, tuntutan Bersatu untuk memegang pengerusi PN di negeri terbabit termasuk mencalonkan Azmin bagi Selangor, berdepan cabaran besar kerana parti itu kini tidak lagi sekuat dulu.

Menurutnya, persoalan seterusnya adalah sama ada parti baharu Hamzah akan menyertai PN atau menjadi sebahagian gabungan tersebut dan jika perkara itu berlaku, Bersatu hampir pasti akan membantah kerana parti bekas timbalan presidennya mungkin menuntut kerusi selama ini ditandingi Bersatu.

“Asasnya apabila Hamzah menjadi sebahagian PN, mereka akan menuntut semua kerusi ditandingi Bersatu. Sudah pasti Bersatu tak boleh terima dan ia akan bawa dilema baru dalam PN. Kemudian, apabila Bersatu menuntut enam kerusi pengerusi negeri, ia satu permintaan besar sedangkan Bersatu setakat ini bukan parti seperti dulu.

“Jadi, sudah pasti jika parti Hamzah menjadi anggota PN, tentu Hamzah mahu pengerusi negeri bagi partinya. Saya fikir tak mudah walaupun Muhyiddin boleh serahkan nama kepada Samsuri, ia akan membawa banyak cabaran dan akan berlaku krisis, salah faham dan perikaian,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.