
Ketua Pembangkang negeri Azmin Ali mendakwa Speaker Lau Weng San menyalahgunakan kuasanya apabila menggantung Adun Taman Medan Dr Afif Bahardin dan Adun Kuang Rafiq Abdullah selama tiga hari.
“Saya cuba mencari satu titik supaya keputusan speaker pada pagi tadi disemak semula sebab Adun Taman Medan tidak membuat tuduhan ataupun hukuman, sekadar menggunakan peraturan mesyuarat untuk merujuk seorang ahli dewan.
“Ahli Dewan (Seri Kembangan) didapati melanggar Peraturan-Peraturan Tetap Mesyuarat (perlu dirujuk) kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana itu juga dalam peraturan, tetapi Speaker menyalahgunakan kuasanya,” katanya dalam sidang akhbar.
Menurut Utusan Malaysia Afif bersama Adun PN yang lain membangkitkan tindakan speaker menolak usul supaya Wong dirujuk kepada jawatankuasa terbabit berkait cadangan beliau mengenai isu perternakan babi di negeri itu.
Akhbar itu melaporkan perbahasan penggulungan titah Sultan Selangor tertangguh lebih 20 minit apabila Adun PN mencabar keputusan tersebut.
Pada sidang media sama, Afif berkata alasan Lau menolak usul itu adalah tidak jelas.
“Kenapa usul saya ditolak, dia (speaker) mendapati usul cacat, tidak lengkap dan tidak boleh diperbaiki berdasarkan pemerhatian di bawah dan apa yang ditulis di dalam usul. Dia menyatakan saya tidak menyatakan bahagian mana kenyataan Wong bercanggah dengan titah Sultan Selangor.
“Perkara itu sangat jelas, minggu lalu media turut melaporkan dengan jelas tentang isu tersebut. Tetapi, speaker menolak (hujah), menolak usul itu,” katanya.
Beliau juga mendakwa perkara yang diputuskan oleh speaker itu cacat dan sebagai teladan yang buruk kepada DUN Selangor.
Afif mengemukakan usul itu pada pagi Khamis dan mendesak supaya ia dibahaskan, namun Lau menolak permintaan itu dengan alasan beliau belum sempat meneliti perkara tersebut.
Wong, ketika membahaskan titah Sultan Selangor, berkata isu penternakan babi menyentuh hak kesamarataan di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berhujah bahawa penternakan babi tidak sepatutnya diasingkan daripada bentuk penternakan lain kerana risiko pencemaran, isu kebersihan dan implikasi kesihatan awam adalah sama bagi semua jenis penternakan.