Gerakan di N Sembilan sukar ‘berjangkit’, kata penganalisis

Gerakan di N Sembilan sukar ‘berjangkit’, kata penganalisis

Azmi Hassan menjangkakan status quo dikekalkan di Negeri Sembilan bagi mengelakkan impak negatif lebih besar terhadap kerajaan perpaduan.

pc umno negeri sembilan
Terdahulu 14 Adun Umno-BN Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun dan menarik balik sokongan kepada kerajaan negeri. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Penarikan sokongan 14 Adun Barisan Nasional di Negeri Sembilan dilihat sukar ‘berjangkit’ ke Perak dan Pahang susulan dinamika politik berbeza di setiap negeri, kata penganalisis.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, walaupun tindakan itu boleh dijadikan ‘templat’ mencabar kerajaan negeri lain, realitinya BN dan Pakatan Harapan (PH) saling memerlukan di Perak dan Pahang.

“Hakikatnya, BN dan PH saling memerlukan. Sekiranya perkara ini berjangkit ke negeri lain, ia akan meruntuhkan kerjasama kedua-dua gabungan itu menjelang PRU,” katanya kepada FMT.

Beliau percaya, gerakan itu tidak mendapat restu pimpinan tertinggi dan menjangkakan status quo dikekalkan bagi mengelakkan kesan negatif lebih besar terhadap kerajaan perpaduan.

Sementara itu, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia menyifatkan senario penarikan sokongan sebagai ‘agak mustahil’ berikutan tiada hala tuju jelas.

“Jika PH tarik sokongan, adakah mereka akan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN)? Terlalu banyak ketidaktentuan ketika pengundi berdepan keletihan politik,” katanya.

Katanya, rakyat kini mahukan justifikasi kukuh seperti isu salah urus tadbir untuk menyokong perubahan kerajaan, bukan sekadar percaturan politik.

“Jika hanya gerakan seperti ‘Langkah Sheraton’, ia berisiko memakan diri kerana tidak popular,” katanya.

Terdahulu, 14 Adun Umno-BN Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun dan menarik balik sokongan kepada kerajaan negeri.

Ketua Umno Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias, berkata keputusan itu dibuat susulan krisis didakwa melibatkan institusi perlembagaan negeri.

Krisis itu turut mencuri tumpuan apabila Undang Luak dilaporkan menggunakan kuasa untuk menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, manakala Undang Sungei Ujong, Mubarak Dohak, pula didakwa sudah dipecat.

Di Perak, kerajaan perpaduan terdiri 24 Adun PH dan sembilan BN, manakala di Pahang, BN yang memiliki 16 kerusi memerlukan sokongan PH untuk majoriti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.