PN cuba ‘rangkul peluang’ dalam krisis N Sembilan, kata Zahid

PN cuba ‘rangkul peluang’ dalam krisis N Sembilan, kata Zahid

Pengerusi BN ulas kesediaan PN tawar kerjasama dengan BN bagi menubuhkan kerajaan negeri baharu.

Zahid Hamidi
Zahid Hamidi yang juga presiden Umno, berkata kemungkinan PRN awal belum diputus dan memerlukan perbincangan lanjut.
KUALA LUMPUR:
Perikatan Nasional (PN) disifatkan cuba merangkul peluang daripada kemelut politik Negeri Sembilan menerusi pendiriannya bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi membentuk kerajaan, kata Zahid Hamidi.

“Dalam politik tentu peluang sedang dicari dan tentu peluang ini cuba dirangkul mereka (PN),” kata pengerusi BN itu kepada media menjawab perkembangan terbaharu di Negeri Sembilan.

Terdahulu, Ketua Pembangkang Sembilan Mohd Hanifah Abu Baker, berkata lima Adun PN sedia bekerjasama dengan BN demi menjamin kestabilan politik serta kelangsungan pentadbiran.

Kesediaan itu disuarakan selepas Ketua Umno Negeri Jalaluddin Alias mengumumkan 14 Adun BN hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.

Menurutnya, keputusan itu dibuat susulan krisis didakwa melibatkan institusi Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri yang kini menjadi perhatian umum.

Mengulas kemungkinan PRN diadakan lebih awal, Zahid berkata perkara itu masih belum diputus dan memerlukan perbincangan lanjut dalam kalangan pihak berkepentingan.

“Adakah mahu pilihan raya awal? Itu kita akan bincangkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.