
Gesaan itu dibuat susulan isu penghinaan terhadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah termasuk insiden terbaru melibatkan satu hantaran di media sosial, disifatkan tidak menghormati institusi yang memayungi kedaulatan negara serta negeri.
“Institusi yang tinggi seperti raja harus dipertahankan atau dilindungi, sebab ia adalah simbol kepada penyatuan dan institusi terbabit lebih tinggi daripada politik yang ada perbezaan.
“Malah kalau ada perbezaan sesama manusia pun, bukan hanya politik tetapi benda-benda yang lain, kita harus mengelakkan cercaan ataupun penghinaan kerana itu asasnya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Negeri Selangor, di sini, hari ini.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, berkata sebanyak 280 laporan diterima setakat semalam, berhubung penularan satu karikatur di media sosial yang mengandungi unsur penghinaan terhadap Sultan Sharafuddin pada 25 April lalu.
Shazeli berkata, laporan polis itu diterima dari seluruh negara yang dibuat pelbagai pihak bagi mengecam tindakan provokasi melampau berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata audit keselamatan longkang berisiko di Selangor akan dilaksanakan susulan kejadian dua kanak-kanak lemas di negeri itu baru-baru ini yang mencetuskan kegusaran awam.
Beliau berkata, semakan melibatkan penilaian menyeluruh terhadap keadaan fizikal longkang serta faktor persekitaran di lokasi, selain mengambil kira situasi sebenar yang menyumbang kepada berlakunya insiden tersebut.
Katanya, aspek keselamatan juga tidak boleh diletakkan di bahu pihak berkuasa tempatan (PBT) semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama ibu bapa dan masyarakat.