PN Selangor jalan dengan ‘1 kaki’ jika PAS, Bersatu gagal berpadu

PN Selangor jalan dengan ‘1 kaki’ jika PAS, Bersatu gagal berpadu

Penganalisis Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata PAS dilihat kuat di akar umbi manakala Bersatu menonjol di DUN Selangor.

bendera perikatan nasional
PN didakwa gagal menterjemahkan kekuatan menang 22 kerusi pada PRN 2023 kepada gerak kerja konsisten dan menyeluruh di peringkat akar umbi, menurut pemimpin PAS Iskandar Samad. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) Selangor berisiko dilihat ‘berjalan dengan satu kaki’ sekiranya PAS dan Bersatu gagal menyatukan kekuatan masing-masing menjelang PRU16, kata penganalisis.

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata teguran Bendahari PAS Iskandar Samad yang gabungan itu masih lemah dari segi gerak kerja akar umbi membuka perdebatan lebih besar mengenai hala tuju gabungan berkenaan di negeri terbabit.

Katanya, PAS memang dilihat lebih konsisten turun ke lapangan termasuk mendekati pengundi tetapi kelebihan itu tidak mencukupi sekiranya parti itu gagal menonjolkan suara lebih berkesan di DUN.

“PAS kuat di akar umbi tetapi lemah di dewan manakala Bersatu pula lantang di dewan tetapi hilang di masyarakat.

“Dilema ini menjadikan PN Selangor seolah-olah berjalan dengan satu kaki,” kata penganalisis dari Global Asia Consulting itu kepada FMT.

HarakahDaily pada 28 April lalu melaporkan Iskandar berkata perkembangan selepas PRN 2023 memperlihatkan PN masih gagal menterjemahkan kekuatan menang 22 kerusi kepada gerak kerja yang konsisten dan menyeluruh di peringkat akar umbi.

Menurut bekas ketua pesuruhjaya PAS Selangor itu politik tidak boleh hanya tertumpu di dalam sidang dewan semata-mata, sebaliknya PN perlu memperkukuhkan kehadiran di lapangan dengan mendekati rakyat di kampung, taman perumahan, pasar serta komuniti setempat.

Tambahnya, berdasarkan realiti semasa, PAS dilihat komponen paling konsisten menggerakkan jentera PN di akar umbi sekali gus wajar memegang jawatan pengerusi PN yang sebelum ini disandang bekas menteri besar Azmin Ali.

Kenyataan beliau itu menyusul selepas Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengumumkan parti itu menamakan Azmin sebagai pengerusi PN Selangor, jawatan dilepaskannya pada Disember tahun lalu.

Khamis lalu, Afif mendakwa PAS Selangor bersetuju Azmin yang juga Adun Hulu Kelang kembali mengetuai PN Selangor namun dinafikan Ketua Pemuda PAS negeri Sukri Omar.

Zaharuddin berkata tokoh berpengalaman seperti Azmin membuktikan Bersatu mempunyai kelebihan dalam aspek kepimpinan namun dilihat kurang agresif membina kehadiran di peringkat akar umbi.

“Rakyat mahukan pemimpin yang berfungsi di dua gelanggang serentak, iaitu lantang di sidang DUN dan mesra di lapangan,” katanya yang menggesa PN mencari formula pembahagian peranan yang jelas.

“Kegagalan berpadu hanya menyukarkan usaha PN meyakinkan pengundi bahawa gabungan itu mampu mentadbir negeri paling strategik,” katanya.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) turut mengakui PAS dilihat lebih menguasai lapangan manakala Bersatu pula lebih bersifat elitis.

Menurutnya, Selangor tidak boleh didekati dengan strategi politik luar bandar semata-mata kerana negeri itu mempunyai komposisi pengundi bercampur, termasuk kawasan bandar dan separa bandar.

“Pengundi Selangor tidak semestinya hanya melihat kepada usaha turun ke kampung-kampung semata-mata. Perlu ada pendekatan berdasarkan segmentasi pengundi,” katanya.

“Mungkin PAS memberi tumpuan kepada kawasan luar bandar dan kampung manakala Bersatu menumpukan bandar.”

Katanya, Azmin masih mempunyai rekod prestasi dan kredibiliti sebagai bekas menteri besar, tetapi perlu lebih menonjol jika mahu terus dilihat sebagai tokoh utama PN Selangor.

“Beliau agak ‘senyap’ kebelakangan ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.