
James Chin dari University of Tasmania juga berpandangan hasrat itu mungkin kerana kedudukan Bersatu semakin lemah akibat krisis dalaman yang menyebabkan tokohnya berpecah.
Beliau menyifatkan sasaran itu realistik kerana PAS dikatakan semakin mendapat tempat di negeri yang dulunya kubu kuat Umno termasuk Melaka.
“PAS sedang mendapat tempat di negeri di mana Umno kuat. Sebab utama yang lain adalah kerana Bersatu menjadi semakin lemah.
“Apabila Bersatu semakin lemah, kebanyakan penyokong mereka lebih rela menyokong PAS berbanding kembali mengundi Umno,” katanya kepada FMT.
Minggu lalu, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Sanusi Nor berkata parti itu sasar bertanding 15 kerusi namun kelmarin Pesuruhjaya PAS Melaka Zulkifli Ismail menambah satu lagi DUN.
Zulklifli menamakan kerusi itu adalah Pantai Kundor, Paya Rumput, Klebang, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Kuala Linggi, Taboh Naning, Rembia, Durian Tunggal, Ayer Molek, Pengkalan Batu, Telok Mas, Duyong, Sungai Rambai, Merlimau dan Serkam.
Kerusi Tanjung Bidara kini disandang Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh.
Sanusi dilaporkan berkata, sasaran dianggap realistik susulan kemenangan PAS bawah tiket Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Jasin dan Tangga Batu pada PRU15.
Menurut Rauf, PRN Melaka dijangka diadakan pada bila-bila masa bermula Mei hingga Disember ini.
Pada PRN 2021, Barisan Nasional menang 21 kerusi tetapi berkurangan selepas Adun Rembia Jailani Khamis menyertai PAS kira-kira dua tahun lalu.
Pakatan Harapan pula menang lima manakala dua oleh PN.
Sementara itu, Awang Azman Pawi berkata sasaran berkenaan dilihat lebih kepada strategi psikologi untuk membina moral penyokong menjelang PRN Melaka.
Penganalisis dari Universiti Malaya itu memberi amaran ia berisiko menjadi ‘overreach’ jika tidak disandarkan kepada data mikro kerusi dan kekuatan akar umbi yang sebenar.
Katanya, kemenangan di Melaka memerlukan sokongan rentas etnik dan naratif ekonomi yang meyakinkan memandangkan struktur pengundinya lebih bercampur berbanding di Kedah atau Kelantan.
“Jika diterjemah sebagai sasaran menang yang realistik, ia kelihatan terlalu optimistik, malah boleh dianggap syok sendiri.
“Momentum PRU15 tidak boleh dijadikan sandaran mutlak kerana logik PRN lebih dipengaruhi faktor calon tempatan dan persepsi kestabilan kerajaan,” katanya.