
Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia berkata kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk pentadbiran kerajaan negeri yang baharu dilihat tidak selari kehendak rakyat.
Seorang lagi penganalisis, Mazlan Ali pula melihat perkembangan itu menunjukkan BN tidak mempunyai ‘strategi serius’ walaupun telah menggerakkan usaha menjatuhkan Adun Sikamat Aminuddin Harun dari Pakatan Harapan (PH) sebagai menteri besar.
Beliau merujuk pengumuman 14 Adun BN Negeri Sembilan, Isnin lalu yang menarik balik sokongan terhadap Aminuddin dengan alasan kegagalannya menguruskan isu institusi di negeri terbabit.
PN negeri itu kemudianya menyatakan kesediaan bekerjasama untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu. Gabungan itu akan memiliki 19 DUN jika bergabung, mengatasi PH dengan 17 kerusi.
“Langkah Umno Negeri Sembilan untuk bersama PN dilihat tidak popular.
“Ia dilihat menangguk di air keruh ketika krisis Istana masih berlangsung,” kata Azmil kepada FMT sambil memberi amaran tindakan itu bakal menimbulkan kemarahan ramai.
Kelmarin, Biro Politik Umno mengumumkan yang parti itu akan terus menyokong kerajaan perpaduan Negeri Sembilan, sambil menghormati pendirian Adun BN yang menarik balik sokongan terhadap Aminuddin.
Mazlan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata Umno menyedari usaha membentuk kerajaan baharu sukar dilakukan kerana situasi membabitkan adat dan perlembagaan negeri masih belum selesai.
“Umno tidak ada strategi seperti itu kerana mereka tahu suasana di Negeri Sembilan tidak memungkinkan kerajaan baharu dibentuk.
“Umno sedar mereka ‘terkunci’ kerana dalam masa terdekat, Yang di-Pertuan Besar tidak mungkin menerima menghadap bagi pembentukan kerajaan baharu,” katanya.
“Pilihan terbaik membenarkan Aminuddin terus memimpin sehingga DUN dibubarkan serentak dengan Parlimen,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting melihat tindakan Umno Negeri Sembilan sebagai percaturan menekan PH dan membuka ruang merebut jawatan menteri besar.
“Umno bukan sekadar mahu bertahan, tetapi mengintai peluang mengambil alih jawatan MB dengan menekan PH.
“Namun, pendekatan itu menampakkan sokongan bersyarat dan berunsur ugutan politik,” katanya.