
Beliau dalam hantaran Facebook sempena Pesta Kaamatan dan Gawai berkata, usaha itu juga bagi memastikan rakyat di kedua-dua negeri berkenaan menikmati kehidupan lebih bermaruah.
Menurutnya, sambutan Kaamatan dan Gawai adalah perayaan kesyukuran berakar daripada tradisi serta warisan masyarakat Sabah dan Sarawak, diraikan penuh bermakna dalam semangat kebersamaan, muafakat serta penghargaan terhadap nikmat hasil bumi.
“Dalam kepelbagaian adat, bahasa dan budaya yang mewarnai negara kita, sambutan ini mengingatkan kekuatan Malaysia terletak pada kemampuannya memelihara keharmonian dalam kemajmukan, memperkukuh semangat persaudaraan dan menyuburkan budaya saling menghormati.”
Katanya, sambutan itu juga mencerminkan pentingnya semangat kebersamaan dalam memperkukuh keharmonian negara.
Beliau mengucapkan Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan dan Gayu Guru Gerai Nyamai kepada masyarakat Sabah serta Sarawak.
“Semoga sambutan ini membawa kemakmuran, keberkatan serta memperteguh semangat muafakat dan kebersamaan yang menjadi tunjang keharmonian Malaysia tercinta.”