Polis tahan lelaki disyaki muat naik hantaran hina Sultan Selangor

Polis tahan lelaki disyaki muat naik hantaran hina Sultan Selangor

Suspek berusia 30-an ditahan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dengan bantuan SKMM.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman M Kumar berkata permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok bagi membantu siasatan lanjut.
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung hantaran gambar penghinaan terhadap Sultan Selangor yang dimuat naik menerusi akaun Facebook ‘Lucas Liam’ pada 2 Mei lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar berkata suspek warga tempatan berusia 30an itu ditahan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 7.10 malam, tadi.

Katanya, tangkapan dibuat menerusi operasi bersama Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan IPK Pulau Pinang dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Tangkapan ini dibuat melalui kerjasama erat dengan SKMM yang membantu mengenal pasti individu dipercayai mempunyai kaitan dengan akaun yang disiasat.

“Turut dirampas dua unit telefon bimbit jenama Samsung beserta kad SIM yang dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, suspek ditangkap dan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 12 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung isu tersebut.

Katanya, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok bagi membantu siasatan lanjut.

“Orang ramai dinasihatkan menggunakan platform media sosial dengan berhemah dan bertanggungjawab.

“Polis komited untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang demi memastikan keamanan dan keselamatan negara terus dipelihara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.