KPM arah perketat keselamatan sekolah

KPM arah perketat keselamatan sekolah

KPM berkata garis panduan baharu sedang dimuktamadkan mengambil kira saranan Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan.

murid sekolah maut dilanggar van batu pahat
Seorang murid perempuan berusia lapan tahun maut selepas dipercayai dilanggar van di hadapan pagar sebuah sekolah rendah di Parit Sulong, Batu Pahat, semalam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan semua sekolah seliaannya mempertingkatkan aspek keselamatan susulan kejadian terbaru melibatkan murid perempuan Tahun 2 dilanggar van di hadapan sekolah di Parit Sulong, Batu Pahat.

Dalam kenyataan, KPM berkata kejadian itu menjadi isyarat jelas langkah keselamatan sedia ada perlu diperkukuh bagi melindungi murid, guru dan warga sekolah.

“Semua sekolah diminta memastikan pematuhan terhadap Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat yang berkuat kuasa ketika ini.

“Pada masa sama, garis panduan baharu sedang dimuktamadkan dengan mengambil kira saranan Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan,” katanya.

Kementerian turut mendapatkan pandangan pakar termasuk Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara bagi menambah baik tatacara keselamatan, khususnya melibatkan penggunaan kenderaan di kawasan sekolah.

“KPM prihatin terhadap insiden yang berlaku dan komited memastikan persekitaran sekolah kekal selamat,” menurut kenyataan.

KPM berkata, semua pentadbir sekolah diminta mengingatkan warganya mengenai aspek keselamatan, termasuk pengendalian dan pergerakan kenderaan dalam kawasan sekolah.

Semalam, media melaporkan seorang murid perempuan berusia lapan tahun maut selepas dipercayai dilanggar sebuah van di hadapan pagar sebuah sekolah rendah di Parit Sulong, Batu Pahat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.