Murid perempuan maut dilanggar van depan sekolah di Batu Pahat

Murid perempuan maut dilanggar van depan sekolah di Batu Pahat

Mangsa yang berusia lapan tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

murid sekolah maut dilanggar van batu pahat
Mangsa Nur Aini Umairah Mohd Fareez dilaporkan maut dilanggar van di depan SK Seri Maimon, Batu Pahat kira-kira 12.40 tengah hari tadi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang murid perempuan Tahun 2 dilaporkan maut selepas dilanggar van di hadapan sekolah rendah di Parit Sulong, Batu Pahat, Johor, tengah hari tadi.

Menurut laporan Berita Harian, mangsa Nur Aini Umairah Mohd Fareez, 8, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Dalam kejadian kira-kira 12.40 tengah hari, mangsa dilaporkan baru selesai sesi persekolahan di SK Seri Maimon sebelum bergerak keluar dari pintu pagar sekolah.

Difahamkan, van terbabit ketika itu juga keluar dari pagar sekolah selepas menghantar barang, namun dikatakan tidak menyedari keberadaan mangsa.

Kejadian disaksikan beberapa ibu bapa yang kebetulan menunggu anak masing-masing pulang dari sekolah.

Jenazah kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Batu Pahat, Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, mengesahkan menerima laporan kejadian.

Katanya, kenyataan berhubung kejadian akan dikeluarkan dalam masa terdekat sebaik siasatan awal selesai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.