
Perintah reman terhadap suspek berusia 60 tahun itu dikeluarkan Majistret Nurasidah A Rahman di Mahkamah Majistret Batu Pahat bermula hari ini sehingga Jumaat.
Permohonan reman ke atas warga emas terbabit dibuat bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, lapor BuletinTV3.
Terdahulu, suspek tiba di mahkamah pada 8 pagi diiringi anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Batu Pahat sebelum dibawa masuk ke mahkamah untuk prosiding.
Sebaik selesai kira-kira 15 minit kemudian, suspek kelihatan tenang ketika dibawa keluar sebelum menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV).
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, murid Tahun Dua, Nur Aini Humairah, 8, meninggal dunia selepas dilanggar van dipandu suspek di hadapan pintu pagar utama sekolah.
Mangsa dilaporkan parah di kepala dan organ dalaman sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Kejadian itu berlaku hanya beberapa minit sebelum ketibaan ibunya, Asmilah Tukiran, 37, yang datang untuk menjemput pulang sebaik sesi persekolahan tamat.
Jenazah Nur Aini Humairah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Parit Mustafa, Parit Sulong, pada 8.35 malam tadi.