Guru tadika didenda RM1,200 cubit budak 4 tahun

Guru tadika didenda RM1,200 cubit budak 4 tahun

Tindakan guru itu mengakibatkan kanak-kanak berkenaan mengalami lebam di tangan.

mahkamah yong peng
Nurul Amira Natasya Mohd Nazri, 25, mengaku salah mencubit lebam lengan seorang kanak-kanak perempuan di Mahkamah Majistret Yong Peng. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Guru tadika didenda RM1,200 selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret Yong Peng kerana mencubit lebam lengan seorang kanak-kanak di bawah jagaan, pada 14 April.

Tertuduh, Nurul Amira Natasya Mohd Nazri, 25, membuat pengakuan demikian di hadapan Majistret Arun Noval Dass.

Majistret turut memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan jika gagal membayar denda dengan tertuduh membayar denda itu, lapor Berita Harian.

Mengikut pertuduhan, Nurul Amira didakwa secara sengaja menyebabkan kecederaan terhadap budak perempuan empat tahun di sebuah tadika dekat Taman Sentang Jaya, Batu Pahat, pada 10 pagi pada 14 April lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, pada 4 petang hari kejadian, pengadu yang juga ibu kanak-kanak itu mengambil mangsa dari tadika lalu dibawa pulang ke rumah.

Sejurus tiba di rumah, ibu kanak-kanak itu mendapati ada kesan lebam pada lengan kanan anaknya, sebelum dimaklumkan dia dicubit gurunya.

Ibu mangsa tidak berpuas hati dengan insiden tersebut lalu membuat laporan di Balai Polis Parit Sulong pada hari kejadian.

Polis menahan tertuduh di tadika bagi membantu siasatan. Hasil siasatan mendapati mangsa dicubit dua kali pada lengan kanan.

Mangsa juga dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) dan laporan mengesahkan terdapat kecederaan pada lengannya. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Firdaus Ruslan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.