
Ketua Polis Jelebu, Azizan Said, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun, yang juga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia pada 5.44 petang.
“Siasatan awal mendapati mangsa datang ke lokasi kejadian bersama ahli keluarga untuk berkelah. Ketika kejadian, mangsa bersama ibunya dipercayai tergelincir dan jatuh ke dalam kolam berkenaan.
“Ibu mangsa bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri, manakala mangsa tenggelam ke dasar kolam. Ibunya memaklumkan bahawa kanak-kanak itu tidak pandai berenang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata hasil bantuan pengunjung yang berada di tempat kejadian, menemukan mangsa di dasar kolam dan dia dibawa ke Hospital Jelebu untuk menerima rawatan kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia pada 2.58 petang.
Azizan berkata bedah siasat akan dijalankan hari ini bagi mengenal pasti punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).