Bagaimana Malaysia rancang had akses media sosial kepada golongan muda

Bagaimana Malaysia rancang had akses media sosial kepada golongan muda

FMT menyingkap bagaimana larangan akan dilaksanakan dan faktor mendorong langkah itu.

parent monitor kids
Malaysia dijangka memperkenalkan langkah untuk mengehadkan akses media sosial kepada golongan di bawah umur 16 tahun pada separuh kedua 2026. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Malaysia bersiap sedia memperkenalkan peraturan baharu bagi menyekat akses bebas ke media sosial bagi individu bawah umur 16 tahun sebagai sebahagian usaha menyeluruh meningkatkan keselamatan dalam talian terhadap kanak-kanak.

Dasar dijangka berkuat kuasa pada pertengahan 2026 akan mewajibkan platform media sosial menyekat individu bawah umur 16 tahun daripada mengurus akaun secara sendiri. Larangan turut membabitkan kumpulan umur sama yang memiliki akaun sendiri.

Usaha itu semakin mendapat momentum selepas Australia menjadi negara pertama memperkenalkan larangan bagi individu bawah 16 tahun pada Disember 2025.

Bawah model Australia ‘tangguh, bukan larang’, akaun tidak dipadamkan sebaliknya dikuarantin sehingga pengguna mencapai had umur ditetapkan.

Negara seperti Perancis dan Sepanyol turut meneroka pendekatan sama, manakala beberapa negara Asia Tenggara mula mengorak langkah ke arah itu.

FMT menyingkap bagaimana peraturan yang dicadangkan untuk Malaysia akan berfungsi, faktor pendorong dasar dan cabaran pelaksanaannya.

Model Malaysia

Malaysia tidak akan mengenakan larangan penuh terhadap akses media sosial bagi mereka di bawah umur 16 tahun. Golongan terbabit masih dibenarkan menggunakannya tetapi diawasi ibu bapa.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata objektifnya untuk mengurangkan risiko berhubung dengan individu tidak dikenali dan penglibatan dalam interaksi memudaratkan.

Seperti di seluruh dunia, dasar ini didorong kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kesan buruk kepada pengguna muda akibat buli siber, pengantunan kanak-kanak, dan kandungan memudaratkan.

Kos sosial dan kewangan daripada aktiviti tidak sihat dalam talian adalah besar. Dari Januari hingga November 2025, rakyat Malaysia kerugian kira-kira RM2.7 bilion akibat penipuan dalam talian.

Selain itu, pihak berkuasa merampas hampir 900,000 fail bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) melalui Ops Pedo 2.0 dari 23 hingga 30 Sept 2025.

Dalam pada itu, sebanyak 1,578 permohonan dibuat dari 2022 hingga awal 2026 untuk menurunkan kandungan memudaratkan melibatkan kanak-kanak dengan 96% berjaya dipadamkan.

Dr Ahmad Rostam Zin
Dr Ahmad Rostam Zin.

Pakar psikiatri dan ahli Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr Ahmad Rostam Zin, berkata langkah itu mencerminkan perubahan lebih menyeluruh dalam memahami risiko tersebut.

“Ini bukan sekadar sekatan umur. Ia perubahan tadbir urus digital berorientasikan kesihatan awam, yang melihat kemudaratan dalam talian sebagai isu sistemik, bukan sekadar masalah tingkah laku individu,” katanya.

Beliau berkata, individu di bawah umur 16 tahun amat terdedah kerana tahap perkembangan mereka.

“Kebimbangan ini menjadi pemangkin utama dasar tersebut. Malah, keputusan ini lebih wajar dilihat sebagai intervensi perlindungan kanak-kanak dan kesihatan mental, bukan bersifat moral atau disiplin semata-mata,” katanya.

Pelaksanaan

Walaupun Malaysia belum mengumumkan butiran penuh, pakar keselamatan siber dari Universiti Sains Malaysia, M Selvakumar, berkata rangka kerja itu mungkin menggabungkan pengesahan identiti dengan pengawasan ibu bapa.

M Selvakumar
M Selvakumar.

Katanya, akaun diurus ibu bapa kebiasaannya dikaitkan dengan identiti dewasa yang disahkan, dengan mereka bertanggungjawab memantau aktiviti anak.

“Akaun kanak-kanak pada asasnya ‘diwakilkan’ oleh orang dewasa yang ‘disahkan’, bukan diwujudkan secara bebas,” katanya.

Menurutnya, sekatan mungkin merangkumi had kepada kenalan dan mesej yang diluluskan sahaja serta pemantauan penggunaan. Namun, beliau mengingatkan keberkesanannya banyak bergantung kepada penglibatan ibu bapa.

Cabaran pelaksanaan

Antara cabaran terbesar adalah pengesahan umur pengguna.

Bagi mengatasinya, kerajaan dijangka bergantung kepada sistem seperti MyDigital ID dan semakan kenali pelanggan anda secara elektronik (eKYC).

Selvakumar berkata, sistem pengenalan sedia ada menawarkan laluan paling segera, manakala eKYC menggunakan MyKad adalah kaedah paling praktikal bagi pengguna Malaysia kerana MyKad dimiliki hampir semua orang.

Beberapa perkara penting masih belum jelas, termasuk penalti bagi ketidakpatuhan dan bagaimana penguatkuasaan akan dijalankan merentasi pelbagai platform.

Platform dijangka memainkan peranan lebih aktif bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025, yang mewajibkan syarikat melaksanakan langkah perlindungan bagi mengehadkan pendedahan kanak-kanak kepada kandungan dan interaksi memudaratkan.

Perundangan ini memperkenalkan tanggungjawab khusus kepada platform yang menjadi hos atau mengedarkan kandungan dijana pengguna, dengan keselamatan kanak-kanak sebagai teras utama rangka kerja baharu tersebut.

Namun, pakar berkata keberkesanan langkah itu sangat bergantung kepada kerjasama platform dan penglibatan ibu bapa.

Bagi keluarga, perubahan ini bermakna penglibatan ibu bapa yang lebih besar dalam mengurus aktiviti dalam talian anak, daripada membuka akaun sehingga memantau penggunaannya.

Langkah ini meletakkan Malaysia dalam kalangan negara yang menilai semula cara kanak-kanak mengakses media sosial, seiring peralihan kerajaan ke arah rangka kerja keselamatan digital lebih ketat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.