
Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar berkata siasatan awal mendapati gula-gula itu dibeli oleh suspek lelaki berusia 39 tahun yang tinggal bersama ibunya, yang juga pengasuh kepada mangsa.
“Suspek mendakwa membeli gula-gula itu dari negara jiran sebelum menyimpannya di dalam peti sejuk di rumah ibunya.
“Bagaimanapun, tanpa disedari kanak-kanak berkenaan yang gemar memakan gula-gula telah mengambil dan memakannya sebelum mangsa didapati tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
Dzulkhairi berkata mangsa tidak sedarkan diri walaupun telah beberapa kali dikejutkan, menyebabkan kanak-kanak itu segera dibawa ke hospital untuk rawatan.
Beliau berkata semasa serbuan yang dijalankan di rumah suspek, gula-gula yang dimaksudkan tidak ditemui.
Semalam, media melaporkan seorang lelaki yang juga pempengaruh media sosial ditahan bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang positif dadah jenis tetrahydrocannabinol atau ganja.
Dzulkhairi dilaporkan berkata suspek yang juga anak kepada pengasuh kanak-kanak berkenaan direman tujuh hari bermula 16 April sebelum disambung lima hari lagi hingga Isnin ini bagi membantu siasatan.