Siasatan serentak terhadap anggota polis pijak kepala suspek

Siasatan serentak terhadap anggota polis pijak kepala suspek

Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata polis buka siasatan tatatertib dibuka dan jenayah terhadap kes di Kulim.

polis pijak
Rakaman video tular menunjukkan anggota polis memijak kepala seorang lelaki ketika tangkapan di Kulim, Kedah.
GEORGE TOWN:
Polis membuka dua siasatan serentak berhubung insiden seorang anggotanya yang didakwa memijak kepala seorang suspek ketika tangkapan di Kulim, Kedah.

Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata satu siasatan tatatertib dibuka terhadap anggota terbabit, manakala satu lagi siasatan jenayah dijalankan mengikut Kanun Keseksaan atas kesalahan sengaja mendatangkan kecederaan dan melakukan khianat.

“Beri ruang kepada kami melengkapkan siasatan ini, dan kami akan dedahkan hasil siasatan serta tindakan lanjut yang akan diambil.

“Kami tidak akan melindungi sebarang salah laku dalam kalangan pegawai kami,” katanya kepada pemberita.

Insiden itu mendapat perhatian selepas video berdurasi 29 saat tular di media sosial, memaparkan polis menahan seorang lelaki di hadapan sebuah kedai aksesori motosikal di Jalan Tunku Putra, Kulim, ketika rondaan pencegahan jenayah dijalankan.

Dalam rakaman itu, lelaki yang memakai topi keledar dilihat ditarik turun daripada motosikalnya sebelum terjatuh ke jalan, lalu seorang anggota polis memijak kepalanya.

Polis kemudian memaklumkan suspek didapati positif methamphetamine.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim Tengku Faisal Tengku Yeng dilaporkan berkata anggota polis terbabit telah dipindahkan ke tugas pentadbiran sementara menunggu siasatan dalaman oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, bagi menentukan sama ada prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi ketika tangkapan dibuat.

Menurut Ayob Khan, walaupun SOP polis membenarkan penggunaan kekerasan minimum yang munasabah sekiranya suspek melawan ketika ditahan, ada situasi tertentu yang dianggap sebagai ‘kelabu.

“Jika suspek melawan hingga mengancam keselamatan kami, kami tidak boleh sekadar menggunakan kekerasan minimum,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ayob berkata polis merampas dadah dan racun bernilai RM3.1 bilion sepanjang tahun lalu dan RM915 juta setakat Mac tahun ini.

Katanya, sejak 2023 polis menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma untuk membanteras sindiket dadah, dengan tindakan diambil di bawah peruntukan jenayah terancang.

“Ini membolehkan kami menyasarkan semua pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah, sama ada ketua sindiket, penghantar mahupun pemproses dadah.

“Hanya dengan cara itu keseluruhan sindiket dapat ditumpaskan dan kesannya lebih besar,” katanya.

Beliau menegaskan Malaysia bukan negara pengeluar dadah, sebaliknya lebih kerap dijadikan lokasi transit oleh sindiket antarabangsa untuk mengedarkan bahan terlarang ke pasaran lain.

Menurutnya, kedudukan geografi Malaysia, khususnya berhampiran kawasan pengeluar dadah seperti ‘Segi Tiga Emas’, menjadikan negara ini laluan transit penting bagi pengedaran dadah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.