
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Mohamad Zainal Abdullah, berkata dalam kes pertama, seorang lelaki dan wanita berusia 41 serta 31 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah inap desa di Santubong pada 7 April lalu.
“Hasil pemeriksaan di lokasi membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah disyaki Methylenedioxymethamphetamine seberat 107.5kg, ketamin (1.3kg), pil Erimin 5 (180g), pil ekstasi (102g) dan syabu (28g).
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM16.2 juta dan dipercayai boleh digunakan 16,952 penagih dadah,” katanya dalam sidang media di IPK Sarawak di sini.
Beliau berkata, sindiket itu dikesan aktif sejak awal bulan ini dengan menggunakan beberapa inap desa sebagai lokasi sementara untuk menjalankan aktiviti pembungkusan, sebelum berpindah ke lokasi lain bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Jelasnya, kedua-dua suspek ialah pasangan kekasih yang dipercayai berperanan membungkus serta mengedarkan dadah ke lokasi ditetapkan ahli sindiket lain melalui aplikasi WhatsApp.
“Mereka menerima bayaran kira-kira RM3,000 sebulan serta komisen RM5 bagi setiap peket dadah dibungkus,” katanya sambil menambah polis turut menyita sebuah kenderaan dianggarkan bernilai RM15,000 dan wang tunai RM1,856.
Menurutnya, wanita itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau, manakala kedua-dua suspek didapati negatif dadah.
Kedua-dua suspek didakwa di Mahkamah Majistret Kuching 20 April lalu atas empat pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, satu pertuduhan di bawah Seksyen 39A(1) akta sama serta dua pertuduhan di bawah Seksyen 12(2) akta sama.
Dalam kes kedua, beliau berkata, dua lelaki tempatan berumur 28 dan 38 tahun ditahan di sekitar Jalan Setia Raja pada 19 April lalu bersama 1,281 peket katrij rokok elektronik disyaki mengandungi cecair ganja dianggarkan seberat 3.2kg serta bernilai RM576,450.
“Kedua-dua suspek dipercayai berperanan sebagai ‘runner’ dan ‘transporter’ dalam rangkaian sindiket terbabit serta menerima bayaran kira-kira RM8,000 bagi setiap penghantaran,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kedua-dua suspek tiada rekod jenayah lampau dan negatif dadah, manakala sebuah kenderaan bernilai kira-kira RM12,000 disita.
Beliau berkata, pendekatan “Tiada hari tanpa tangkapan” yang dilaksanakan kontinjen Sarawak menunjukkan hasil positif dengan 5,151 tangkapan berkaitan dadah direkodkan dari 1 Jan hingga 19 April lalu berbanding 3,728 bagi tempoh sama tahun lalu.
Nilai rampasan dadah dan racun bagi tempoh sama turut melonjak kepada RM31.9 juta berbanding RM3.1 juta tahun lalu, peningkatan sebanyak 913.7%.