
Beliau berkata, setakat ini tiada sebarang tindakan definitif diambil terhadap individu terlibat dalam kes itu.
Menteri digital itu berkata, keseriusan kes terbabit tidak boleh dipandang remeh memandangkan dakwaan berat dikemukakan selain sokongan bukti termasuk rakaman audio.
“Adalah munasabah dalam keadaan sebegini untuk mendesak penjelasan mengenai status siasatan kes ini.
“Peguam negara perlu menjelaskan peringkat siasatan semasa dan menyatakan secara terbuka sama ada sebarang tindakan akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat, dan jika ya, bilakah ia akan dilakukan,” katanya dalam kenyataan.
Gobind menyifatkan perkara itu sebagai kepentingan awam di mana rakyat berhak mengetahui apa sebenarnya berlaku.
“Keluarga mangsa juga berhak mendapat jawapan dan keadilan,” katanya.
Sebelum ini, peguam keluarga mangsa, Rajesh Nagarajan, berulang kali mendesak supaya anggota polis terlibat dalam insiden itu ditangkap serta-merta.
Beliau menegaskan, memandangkan kes itu diklasifikasikan semula sebagai bunuh bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, prosedur jenayah biasa harus terpakai tanpa sebarang layanan istimewa.
Rajesh turut menyangkal alasan pihak berkuasa, siasatan masih menunggu laporan forensik dan balistik, dengan menyatakan analisis forensik hanya alat pembuktian dan bukan syarat utama untuk melakukan tangkapan.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, memberi jaminan kerajaan akan bersikap telus dalam siasatan tersebut bagi memastikan keadilan dan memelihara kepercayaan awam terhadap agensi penguatkuasaan.