
Mengulas pertuduhan membunuh yang dihadapi seorang lelaki dalam kemalangan maut di Klang, peguam Kitson Foong berkata, pertuduhan sedemikian mungkin jarang berlaku, tetapi ini bukannya julung kali.
Foong berkata, isunya bukan sama ada pertuduhan lain lebih sesuai, tetapi sama ada pertuduhan itu boleh dibuktikan di mahkamah.
“Ringkasnya, ‘kelaziman bukanlah ketidakwajaran’. Ujian sebenar ialah bukti, bukan berapa kerap ia dilakukan sebelum ini,” katanya kepada FMT.
Pada 1 April lalu, pembantu makmal, R Saktygaanapathy, 28, didakwa atas pertuduhan membunuh membabitkan kematian penunggang p-panggilan, Amirul Hafiz Omar, 33, di Jalan Raya Barat, Klang pada 29 Mac lalu.
Dia turut didakwa mengambil dadah jenis benzo dan tetrahydrocannabinol, di mana tertuduh mengaku bersalah.
Saktygaanapathy didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sekurang-kurangnya 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan pula memperuntukkan hukuman penjara 10 hingga 15 tahun dan denda RM50,000 hingga RM100,000 bagi tertuduh disabitkan kesalahan menyebabkan kematian ketika memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah, dengan hukuman lebih berat bagi pesalah berulang.
Peguam Negara, Dusuki Mokhtar mempertahankan keputusan mendakwa Saktygaanapathy atas pertuduhan membunuh, dengan merujuk Seksyen 300(d) Kanun Keseksaan.
Peruntukan itu menyatakan individu melakukan kesalahan membunuh jika dia melakukan perbuatan dengan mengetahui ia “amat berbahaya sehingga hampir pasti menyebabkan kematian atau kecederaan yang mungkin membawa maut”.
Foong berkata, Seksyen 300(d) wujud khusus untuk kes membabitkan perbuatan “jelas mengancam nyawa” sehingga undang-undang menganggapnya mempunyai pengetahuan yang sepatutnya dimiliki mana-mana orang waras.
“Terpulang kepada mahkamah untuk tentukan sama ada kes ini melepasi ambang itu. Tetapi, peguam negara dalam kerangka Kanun Keseksaan ketika merangka pertuduhan itu,” kata Foong.
Beliau bagaimanapun berkata, mahkamah masih boleh mensabitkan tertuduh atas kesalahan lebih ringan jika unsur pembunuhan tidak dapat dibuktikan.
Bekas menteri undang-undang, Hanipa Maidin dilapor menyifatkan pertuduhan membunuh itu keterlaluan dan terlalu keras kerana sukar untuk melihat bagaimana kematian Amirul boleh dianggap perbuatan disengajakan.
Katanya, pertuduhan di bawah Seksyen 304 atau 304A Kanun Keseksaan, atau Akta Pengangkutan Jalan lebih sesuai. Seksyen 304 merujuk kesalahan membunuh tanpa niat, manakala Seksyen 304A meliputi perbuatan memandu secara melulu atau cuai sehingga menyebabkan kematian.
Pendekatan sama digunakan dalam satu kes di Segamat, di mana seorang pemandu lori didakwa atas tiga pertuduhan membunuh pada 6 April lalu. Shafiq Salleh, 29, didakwa atas kematian S Palamiandy, 77, K Myakrishnan, 72, dan S Sevendai, 62, di KM212 Jalan Johor Bahru-Seremban pada 2 April.
Polis dilaporkan berkata, Shafiq didapati positif dadah selepas kemalangan itu, tetapi belum didakwa atas kesalahan dadah. Menurut polis, dia akan didakwa mengambil dadah selepas menerima laporan patologi.
Peguam Nizam Bashir berkata, walaupun Seksyen 44 ialah pertuduhan lazim bagi kematian berkaitan memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol, peguam negara mempunyai budi bicara luas untuk mendakwa di bawah Kanun Keseksaan apabila keadaan membenarkan pertuduhan lebih berat.
Katanya, kewujudan satu kesalahan khusus di bawah Akta Pengangkutan Jalan tidak menghalang pendakwaan di bawah Kanun Keseksaan, jika sesuai.
“Kesalahan memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol sehingga menyebabkan kematian lazimnya tidak termasuk di bawah Seksyen 300(d), tetapi ia boleh terpakai dalam kes luar biasa, di mana perbuatan tertuduh menunjukkan pengetahuan bahawa kematian mungkin berlaku,” katanya sambil menambah setiap kes akhirnya bergantung kepada fakta.