
Salim Bashir berkata kesalahan yang dilakukan, khususnya di bawah Kanun Keseksaan, lazimnya membawa hukuman penjara dan denda.
“Mereka mungkin menjalani tempoh penjara lebih lama jika gagal membayar denda dan pampasan, kerana undang-undang memperuntukkan hukuman gantian,” kata bekas presiden Majlis Peguam kepada FMT.
Beliau menambah, mengenakan hukuman penjara tambahan terhadap pesalah yang gagal mematuhi perintah bayaran termasuk pampasan, disebabkan kemiskinan tegar, boleh dilihat sebagai langkah ke belakang.

Menurutnya, keadaan ini juga boleh memberi kesan lebih luas kepada keluarga pesalah, terutama jika dia merupakan pencari nafkah utama.
Salim, yang juga bekas pengerusi bersama jawatankuasa undang-undang jenayah Majlis Peguam, berkata adalah tidak wajar bagi pihak pendakwaan memohon perintah pampasan terhadap individu yang disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman mati.
“Namun, itulah kedudukan undang-undang, kerana mangsa atau wakil mereka berhak menuntut pampasan,” katanya.
Salim mengulas arahan Peguam Negara Dusuki Mokhtar yang mewajibkan timbalan pendakwa raya (TPR) memohon perintah pampasan bagi mangsa jenayah, termasuk mereka yang maut akibat pemandu di bawah pengaruh.
Dusuki berkata Seksyen 426 Kanun Tatacara Jenayah memberi kuasa kepada mahkamah untuk mengarahkan pesalah membayar kos kepada pihak pendakwaan serta pampasan kepada mangsa atau waris mereka.
Katanya, kepentingan awam menuntut agar dalam kes yang sesuai, mangsa menerima pampasan yang mencukupi demi keadilan.
Peruntukan itu juga menyatakan mahkamah perlu mempertimbangkan sifat kesalahan, kecederaan atau kos yang ditanggung mangsa, kerosakan atau kehilangan harta, kehilangan pendapatan mangsa, serta kemampuan pesalah untuk membayar pampasan.
‘Seksyen 426 tidak boleh digunakan secara sewenang-wenangnya’
Peguam Baljit Singh Sidhu berkata walaupun TPR boleh membuat permohonan tersebut, keputusan untuk memberikan pampasan tetap berada di bawah budi bicara mahkamah, dengan mengambil kira faktor meringankan dan memberatkan yang dibangkitkan semasa hujahan hukuman.

Beliau menambah, keperluan kepada TPR untuk membuat permohonan sedemikian boleh menambah beban kerja mereka kerana mahkamah mungkin perlu menjalankan siasatan sebelum memutuskan sama ada pampasan wajar diberikan.
Baljit menyatakan Seksyen 426 telah lama wujud dalam Kanun Tatacara Jenayah tetapi jarang digunakan.
“Pada pandangan saya, peruntukan ini tidak sepatutnya digunakan secara sewenang-wenangnya kerana ia mungkin tidak memberi manfaat praktikal,” katanya.
Beliau mempersoalkan bagaimana peruntukan itu akan dilaksanakan dalam kes kesalahan kecil, seperti seseorang yang disabitkan mencuri barangan runcit, yang kemungkinan besar tidak mampu membayar pampasan.
Baljit turut menjelaskan bahawa di bawah Seksyen 432 Kanun Tatacara Jenayah, pampasan boleh bermula dari RM500, manakala hukuman penjara maksimum bagi kegagalan membayar ialah enam bulan.
Perlindungan insurans

Peguam A Srimurugan berkata secara umumnya tidak perlu ada perintah pampasan dalam kes kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kematian kerana kebanyakan pemandu dilindungi insurans seperti yang diwajibkan undang-undang.
Katanya, pihak yang cedera dan waris si mati boleh menuntut ganti rugi yang besar, tertakluk kepada pembuktian liabiliti.
“Pihak insurans akan memenuhi tuntutan yang sah,” katanya.