Bekas ketua kuil shaolin dipenjara 24 tahun atas tuduhan rasuah, pecah amanah

Bekas ketua kuil shaolin dipenjara 24 tahun atas tuduhan rasuah, pecah amanah

Liu Yingcheng didapati bersalah atas jenayah termasuk pecah amanah, salah guna dana, menerima rasuah sebagai kakitangan bukan kerajaan serta menawarkan rasuah.

Mahkamah di China menjatuhkan hukuman penjara 24 tahun terhadap bekas ketua tokong shaolin terkenal Shi Yongxin yang didapati bersalah terhadap tuduhan rasuah dan menyalahguna wang berjumlah lebih 131 juta yuan. (Gambar AFP)
ZHENGZHOU:
Shi Yongxin, bekas ketua tokong shaolin yang terkenal, dijatuhi hukuman penjara 24 tahun pada Jumaat atas kesalahan rasuah, lapor Xinhua.

Menurut Mahkamah Rakyat Pertengahan Bandar Xinxiang di Wilayah Henan, tengah China, Shi yang nama asalnya ialah Liu Yingcheng, didapati bersalah atas jenayah termasuk pecah amanah, salah guna dana, menerima rasuah sebagai kakitangan bukan kerajaan serta menawarkan rasuah.

Mahkamah menyatakan bahawa ketika berkhidmat sebagai ketua tokong shaolin dan pengerusi sebuah yayasan kebajikan di bawah kuil berkenaan antara 2003 hingga 2025, Liu telah menyalahgunakan wang serta aset milik kuil dan yayasan terbabit secara haram berjumlah lebih 131 juta yuan (kira-kira USD19.2 juta), sama ada secara bersendirian atau bersubahat dengan pihak lain.

Dari 2012 hingga 2022, Liu juga didapati menyalahgunakan dana milik kuil dan yayasan berkenaan untuk kegunaan peribadi yang melebihi 151 juta yuan serta gagal mengembalikan wang itu dalam tempoh lebih tiga bulan.

Mahkamah juga mendapati sejak Julai 2006, Liu telah menggunakan kedudukannya untuk membantu pihak lain mendapatkan projek pembinaan kuil serta peluang perniagaan berkaitan, sebagai balasan kepada wang tunai dan barangan berharga yang kesemuanya bernilai lebih 11.63 juta yuan.

Selain itu, dari 1995 hingga 2022, Liu turut menawarkan wang dan barangan berharga bernilai lebih 5.67 juta yuan sebagai rasuah kepada kakitangan kerajaan bagi mendapatkan faedah secara tidak sah, menurut keputusan mahkamah.

Pihak mahkamah menegaskan kes ini melibatkan jumlah wang yang sangat besar, kesalahan rasuah yang amat serius, serta salah laku jenayah yang berlarutan dalam tempoh yang lama, sekali gus mendatangkan kemudaratan serius dan memberikan impak sosial yang sangat negatif. Oleh itu, hukuman berat adalah wajar dilaksanakan mengikut undang-undang.

Bagaimanapun, menurut mahkamah, Liu telah mengaku bersalah secara jujur terhadap kesalahannya, mendedahkan beberapa fakta jenayah yang sebelum ini tidak diketahui oleh penyiasat secara sukarela, serta menunjukkan rasa kesal atas perbuatannya.

Susulan pengumuman keputusan itu, Liu menyatakan di mahkamah bahawa beliau tidak akan mengemukakan rayuan terhadap hukuman berkenaan.

Beliau telah dihadapkan ke mahkamah pada 25 Mei, mengaku bersalah dan menyatakan kekesalan dalam kenyataan terakhirnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.