Gagal patuh award tribunal, pemilik syarikat umrah dipenjara 3 tahun

Gagal patuh award tribunal, pemilik syarikat umrah dipenjara 3 tahun

Tertuduh, Norhayani M Ilham dikenakan hukuman itu selepas didapati bersalah gagal mematuhi award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia membabitkan tuntutan RM51,800.

tawau
Tertuduh, Norhayani M Ilham, 44, dipenjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret Tawau hari ini selepas didapati bersalah gagal mematuhi award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia membabitkan tuntutan keseluruhan RM51,800. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pemilik syarikat pengurusan pakej umrah dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret Tawau hari ini selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan gagal mematuhi award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) membabitkan tuntutan RM51,800.

Tertuduh, Norhayani M Ilham, 44, dikenakan penjara setahun bagi setiap pertuduhan oleh Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin yang mengarahkan hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh sabitan hari ini.

Berdasarkan pertuduhan, dia selaku pemilik syarikat UK Global Halal Digital Marketplace didakwa gagal mematuhi award TTPM bertarikh 27 Ogos 2024 yang mengarahkannya membayar tuntutan kepada tiga penuntut membabitkan jumlah keseluruhan RM51,800.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau di sini mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Ketika menjatuhkan hukuman, Dayang Aidaku Amira berkata mahkamah sudah mempertimbangkan dengan teliti pembelaan tertuduh melalui keterangan tidak bersumpah yang diberikan dari kandang tertuduh.

Menurutnya, dakwaan ugutan, rundingan antara pihak-pihak terbabit, masalah kesihatan serta kesukaran peribadi yang dibangkitkan tertuduh tidak menafikan obligasi undang-undang terhadap award tribunal yang dikenakan ke atasnya.

“Mahkamah ini bukan forum rayuan terhadap keputusan tribunal dan merit atau ketepatan award tribunal itu tidak boleh dibuka semula dalam prosiding ini.

“Lebih-lebih lagi apabila tiada cabaran sah pernah dikemukakan terhadap award berkenaan pada peringkat awal,” katanya, menurut Harian Metro.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi dengan jaminan RM2,500 bagi setiap pertuduhan.

Tertuduh turut diperintahkan memfailkan notis rayuan hari ini.

Pegawai Pendakwa KPDN Sabah Gunasegaran Krishnan bersama Malai Rosidi Malai Muhamad mewakili pihak pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 23 April lalu, Norhayani turut dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan selepas didapati bersalah atas kesalahan sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.