
Mahkamah Tinggi Seoul menjatuhkan hukuman yang lebih berat itu dalam keputusan yang disiarkan secara langsung di televisyen, selepas mendapati bekas presiden itu bersalah menghalang penyiasat daripada menahannya pada Januari 2025 berhubung pengisytiharan darurat yang singkat pada bulan sebelumnya.
Pasukan pendakwa raya khas diterajui Cho Eun-suk sebelum ini memohon hukuman penjara 10 tahun dikenakan terhadap Yoon.
Peguam bela Yoon bagaimanapun berikrar untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu ke Mahkamah Agung dan menyifatkan hukuman berkenaan sebagai “tidak boleh diterima”.
Mahkamah Rayuan mengekalkan sebahagian besar keputusan mahkamah bawahan yang mendapati Yoon bersalah kerana mengarahkan pemadaman rekod sulit telefon serta mencipta dan kemudian melupuskan proklamasi palsu selepas dekri itu ditarik balik.
Mahkamah turut memutuskan bahawa bekas presiden itu melanggar hak ahli Kabinetnya apabila hanya memanggil sekumpulan ahli tertentu ke mesyuarat bagi menyemak rancangan undang-undang tenteranya.
Walaupun mahkamah bawahan sebelum ini memutuskan Yoon tidak melanggar hak dua ahli Kabinet yang tidak hadir ke mesyuarat itu, Mahkamah Rayuan berpendapat hak mereka juga telah dicabuli.
Selain itu, Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan pembebasan Yoon oleh mahkamah bawahan atas pertuduhan salah guna kuasa berkaitan arahannya untuk mengedarkan kenyataan media palsu bagi mempertahankan pengisytiharannya.
Keputusan itu merupakan yang pertama oleh Bahagian Pemberontakan Mahkamah Tinggi Seoul dalam kes membabitkan pengisytiharan darurat oleh Yoon pada 3 Disember 2024.
Bahagian perbicaraan itu ditubuhkan pada Februari selepas Perhimpunan Kebangsaan meluluskan rang undang-undang bagi mewujudkan bahagian khusus untuk mengendalikan kes pemberontakan, khianat dan dahagi, termasuk yang berkaitan dengan tindakan Yoon.
Bekas presiden yang sedang dipenjarakan itu menghadapi lapan perbicaraan berkaitan pengisytiharan darurat yang singkat, serta dakwaan rasuah melibatkan isterinya dan kes kematian seorang anggota Marin pada 2023.
Pada Februari, mahkamah daerah telah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas Yoon atas pertuduhan mengetuai pemberontakan melalui pengisytiharan darurat itu.