
Pesuruhjaya Kehakiman, K Raja Segaran, berkata beliau mendapati pemaju Elements Mall @ Hatten City gagal membuktikan penyerahan milikan kosong yang sah di bawah perjanjian jual beli (SPA).
Beliau berkata unit-unit tersebut tidak dibuktikan telah disiapkan dengan sempurna dan sesuai untuk diduduki.
“Sehubungan itu, plaintif berhak menerima LAD bagi kelewatan penyerahan milikan kosong,” katanya dalam penghakimannya.
Raja Segaran berkata berdasarkan tafsiran yang tepat terhadap SPA, notis penyerahan milikan kosong yang sah hanya boleh berlaku selepas sijil siap dan pematuhan dikeluarkan, yang mengesahkan bahawa unit telah disiapkan mengikut pelan yang diluluskan serta selamat dan sesuai untuk diduduki.
Beliau berkata mahkamah mendapati pemaju, MDSA Resources Sdn Bhd, gagal membuktikan bahawa syarat-syarat kontrak bagi penyerahan milikan kosong yang sah telah dipenuhi.
Seramai 106 pembeli memfailkan tindakan mereka pada 2020 terhadap MDSA, yang sebelum ini dikenali sebagai Fu Yuu Resources Sdn Bhd.
Raja Segaran berkata bukti dokumentari dan lisan, termasuk laporan arkitek serta keterangan saksi, menunjukkan bahawa unit-unit tersebut belum mencapai tahap yang dikehendaki di bawah SPA.
Mahkamah turut menyatakan bahawa pihak pemaju memilih untuk tidak memanggil mana-mana saksi dan beberapa perkara yang dijadikan asas pembelaannya, termasuk urusan penyewaan dan dokumen berkaitan, tidak dibuktikan melalui bukti yang boleh diterima.
Raja Segaran mengarahkan pemaju membayar kira-kira RM45 juta kepada pembeli dalam tindakan yang digabungkan, dengan jumlah ganti rugi terus meningkat sehingga penyerahan milikan kosong yang sah dilakukan.
Beliau juga menganugerahkan kos RM500,000 memandangkan kes itu melibatkan lima tindakan yang digabungkan dan didengar bersama.
Plaintif memohon pengisytiharan bahawa unit-unit tersebut tidak selamat dan tidak sesuai untuk diduduki, serta bahawa tiada penyerahan milikan kosong yang sah di bawah SPA masing-masing.
Mereka juga menuntut LAD kerana kegagalan pemaju menyerahkan milikan kosong dalam tempoh tiga tahun dari tarikh SPA yang ditandatangani antara 2011 hingga 2015.
Plaintif diwakili oleh D Anuratha, Ratha Davi Rada Krishanan, Lui Soon Onn, dan Chew Shufei, manakala Abraham Kuah mewakili pihak defendan.