
Orang kena saman (OKS), Mohd Hafiz Haron, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Firdaus Md Isa, lapor Harian Metro.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa secara sedar membuat dan memulakan hantaran komen yang jelik melampau sifatnya terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Kesalahan itu dilakukan pada 7.30 pagi, 11 September 2025 menggunakan aplikasi TikTok melalui akaun @muhammad.bin.abdu969.
Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.
Ia memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya dan juga didenda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Mengikut fakta kes, hantaran bersifat jelik itu dilihat seorang lelaki yang juga pengadu ketika berada di sebuah rumah di Taman Pelangi, Semenyih pada10 malam, 11 September.
Laporan susulan kepada aduan terbabit juga dibuat tiga individu lain yang melaporkan perkara sama.
Keterangan menunjukkan OKS sedar dan tahu bahawa hantaran dibuat bersifat jelik melampau serta menghina Yang di-Pertuan Agong yang menyebabkan orang ramai melihat hantaran itu berasa marah dan sakit hati.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atiqah Mohamad Alias yang mengendalikan pendakwaan memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap OKS sebagai pengajaran.
Hafiz yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan memandangkan dia pencari nafkah dengan bekerja di kampung bagi menyara keluarga serta tiga anak selain menjaga ibunya yang uzur.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan bermula hari ini serta denda RM5,000.
Dia turut diperintahkan menjalani hukuman penjara empat bulan penjara jika gagal membayar denda.