Hukuman mati diganti penjara 40 tahun kerana bunuh, bakar kekasih hamil

Hukuman mati diganti penjara 40 tahun kerana bunuh, bakar kekasih hamil

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan mengambil kira umur perayu dan undang-undang yang memberi mahkamah pilihan untuk menjatuhkan hukuman mati atau penjara.

Court of Appeal Mahkamah rayuan
Mahkamah Rayuan menggantikan hukuman mati yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Klang ke atas Fakrul Aiman Sajali dengan hukuman penjara 40 tahun dan 12 sebatan.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara 40 tahun dan 12 sebatan terhadap seorang bekas penuntut institusi pengajian tinggi yang membunuh teman wanita hamil dengan menikam dan membakar mayatnya.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Justice Azman Abdullah membenarkan rayuan Fakrul Aiman Sajali, 23, dan menggantikan hukuman mati dengan hukuman penjara.

“Kami mengambil kira umur perayu ketika melakukan kesalahan itu dan undang-undang yang memberi pilihan kepada mahkamah untuk menjatuhkan hukuman mati atau penjara,” katanya yang bersidang bersama Hakim Ahmad Kamal Shahid dan Radzi Harun.

Peguam Nor Tamrin berhujah, hukuman penjara lebih sesuai kerana anak guamnya pesalah muda dan Seksyen 293 Kanun Tatacara Jenayah boleh digunakan.

Seksyen 293 memperuntukkan hukuman alternatif bagi pesalah berusia 18 hingga 21 tahun, termasuk pilihan untuk mahkamah melepaskan mereka dalam tempoh pengawasan atau menjalani khidmat masyarakat.

Tetapi, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob berhujah, peruntukan itu untuk kesalahan ringan.

“Kesalahan yang dilakukan adalah serius dan faktor usia muda tidak patut dijadikan alasan untuk menukar hukuman.”

Pada 15 Okt 2025, Mahkamah Tinggi Klang menjatuhkan hukuman mati ke atas Fakrul yang mengaku bersalah membunuh Nur Anisah Abdul Wahab, 21, di Jalan Sungai Limau, Sabak Bernam antara 8.30 malam 22 Mei dan 8 pagi 23 Mei 2023.

Dia berumur kira-kira 20 tahun ketika melakukan kesalahan itu.

Hakim Norazlin Othman menjatuhkan hukuman itu, selepas Fakrul mengekalkan pengakuan bersalahnya.

Norazlin dalam penghakimannya berkata, mahkamah berpuas hati dengan pengakuan tanpa syarat tertuduh dan fakta kes serta ekshibit dikemukakan pihak pendakwaan benar.

Beliau berkata, memandangkan perbuatan itu menjurus kepada jenayah dirancang, hukuman berat perlu dijatuhkan berbanding jenayah bersifat spontan.

Katanya, defendan mengambil dua nyawa, iaitu mangsa dan anak dalam kandungannya yang berusia 18 minggu.

Fakta kes mendedahkan Fakrul memukul kepala mangsa dengan kayu, sebelum mengheretnya ke tepi longkang, menikam perutnya dengan pisau dan mengelar lehernya.

Laporan bedah siasat Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh mengesahkan kesan bakar meliputi hampir seluruh tubuh mangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.