Ahli kongsi gelap antara 3 didakwa tetak lelaki sampai mati

Ahli kongsi gelap antara 3 didakwa tetak lelaki sampai mati

Mereka didakwa menetak mangsa menggunakan parang di khalayak ramai hingga maut.

gavel
Tertuduh, Pan Wei Siang, 24; Henry Lau Yi Sheng, 26, dan Tan Ah Chai, 32, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tangkak hari ini atas pertuduhan menetak seorang lelaki menggunakan parang di khalayak ramai hingga maut, Mac lalu. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Ahli kongsi gelap antara tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tangkak hari ini atas pertuduhan menetak seorang lelaki menggunakan parang di khalayak hingga maut, Mac lalu.

Tertuduh, Pan Wei Siang, 24; Henry Lau Yi Sheng, 26, dan Tan Ah Chai, 32, mengangguk faham sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Lee Kim Kiat, menurut Berita Harian.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh memandangkan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas didakwa membunuh Tong Wee Sheng, 38, di tepi rumah di Batu 9, Bukit Kangkar, Sungai Mati, 7.20 petang, 13 Mac lalu.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun serta sebatan tidak lebih 12 kali sekiranya tidak dikenakan dihukum gantung.

Timbalan Pendakwa Raya Amirah Sapian mengendalikan pendakwaan manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam sementara Mohd Razak Shariff bertindak sebagai peguam pemerhati keluarga mangsa.

Terdahulu, Amirah memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu memandangkan belum menerima laporan forensik dan bedah siasat serta tidak menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan kes disebut semula pada 14 Julai ini untuk serahan dokumen.

Di mahkamah sama, Ah Chai mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menganggotai pertubuhan ‘Hong Hong San’ yang tidak didaftarkan.

Kesalahan itu dilakukan IPD Tangkak, 7.45 petang, 28 April lalu dan dakwaan dibuat mengikut Seksyen 7 Akta Pertubuhan 1966 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 43 akta sama.

Kes disebut semula pada 9 Jun ini untuk serahan dokumen serta lantikan peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.