Penuntut kolej didakwa bunuh gadis 19 tahun

Penuntut kolej didakwa bunuh gadis 19 tahun

Muhammad Hazim Muhammad didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Nurfisya Zulkifly di Ketereh.

Tertuduh, Muhammad Hazim Muhammad, 19, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini atas pertuduhan membunuh penuntut kolej, Nurfisya Zulkifly, 19. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang penuntut kolej dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini atas pertuduhan membunuh gadis berusia 19 tahun dalam kejadian di Ketereh, 30 April lalu.

Tertuduh, Muhammad Hazim Muhammad, 19, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid, menurut Berita Harian.

Tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Nurfisya Zulkifly, 19, antara 11.40 malam, 30 April hingga 12.20 tengah malam 1 Mei di Jalan Pengkalan Piah, Ketereh.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.

Pengarah Pendakwaan Kelantan Wan Azimah Yaacob mengendalikan pendakwaan dengan dibantu Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nadzir Abdullah dan Ahmad Naabil Mohamed Asri manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Alias Ibrahim.

Terdahulu, Wan Azimah memohon satu tarikh pengurusan kes bagi mendapatkan beberapa laporan pakar.

Mahkamah menetapkan 2 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula dan pengurusan kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.