
Ketua Polis Penampang, Sammy Newton, berkata suspek yang juga warga asing berumur 29 tahun ditahan di kawasan semak tepi jalan di Pekan Kinarut Lama, Papar pada 5.50 petang tadi.
“Suspek tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah methamphetamine,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Sammy berkata siasatan awal mendapati semasa kejadian, mangsa berada di rumah bersama seorang kanak-kanak lelaki yang juga anak saudaranya dan suspek datang ke rumah mangsa untuk berjumpa dengan kakak ipar mangsa bagi menuntut baki hutang kerja membaiki paip rumah.
Beliau berkata ketika kejadian, mangsa sedang memegang sebilah pisau untuk menyiapkan masakan di dapur dan suspek mendakwa mangsa telah mengeluarkan kata-kata kasar sehingga menyebabkan suspek berasa marah.
Sammy berkata suspek kemudian bertindak merampas pisau daripada tangan mangsa sebelum mengelar leher dan menolak mangsa ke dinding tandas sehingga menyebabkan kecederaan pada bahagian kepala dan leher.
“Selepas kejadian, suspek bertindak melarikan diri,” katanya, sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata mangsa kini berada dalam keadaan stabil namun mengalami beberapa kecederaan serius, iaitu luka kelar pada bahagian leher dan luka tetakan pada bahagian kiri kepala.
Terdahulu, seorang remaja perempuan warga asing ditemukan cedera parah di dalam tandas sebuah rumah di Kampung Tuntuluk.