
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Hussein Omar Khan berkata dalam serbuan pertama di Batu 15, Jalan Apas, polis merampas 128 peket plastik lut sinar disyaki berisi dadah jenis methamphetamine dianggarkan seberat 130.60kg dan sebuah kereta Toyota Harrier.
Beliau berkata dua lelaki tempatan berumur 36 dan 52 tahun turut ditahan dengan semakan mendapati suspek pertama yang positif terhadap methamphetamine dan amphetamine dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’ manakala suspek kedua merupakan ahli sindiket.
“Susulan tangkapan itu, polis memeriksa sebuah kereta Nissan Sylphy dan Toyota Camry di Bandar Sri Indah, Batu 10.
“Methamphetamine seberat 90.41kg dan cecair disyaki fentanyl seberat 0.98 liter ditemukan dalam Nissan Sylphy manakala pemeriksaan pada Toyota Camry menemukan 99 peket plastik lut sinar disyaki methamphetamine seberat 102.90kg,” katanya pada sidang media di IPD Tawau.
Hussein berkata sindiket berkenaan disyaki mula aktif sejak awal tahun ini manakala kedua-dua lelaki yang mempunyai rekod berkaitan kesalahan dadah serta jenayah itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau berkata tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan jumlah sitaan sebanyak RM34,000.
Modus operandi sindiket itu, katanya menggunakan kenderaan terpakai untuk menyembunyikan dadah di ruang dalam kenderaan yang dibawa dari Pelabuhan Sepanggar sebelum dihantar ke Tawau.
“Tawau menjadi hab transit sebagai pintu penyeludupan bahan terlarang itu yang bukan sahaja untuk kegunaan tempatan tetapi juga diedar ke negara jiran.
“Polis percaya dadah itu datang dari kawasan ‘segi tiga emas’ ataupun negara sebelah utara Semenanjung Malaysia melalui Lembah Klang dan diseludup masuk ke Sabah dan Sarawak untuk kegunaan di sini dan negara berhampiran,” katanya.
Katanya, dalang sindiket itu dipercayai telah melarikan diri ke luar negara.